Lebih 100 penduduk rumah sewa, warga emas di Kaki Bukit raikan Syawal dengan baju baharu, pek habuan
Ia bertujuan untuk meringankan beban penduduk yang tinggal di flat sewa serta warga emas yang kurang bernasib baik di kawasan kejiranan itu dan membawa keceriaan buat mereka pada musim perayaan ini.
Usaha murni ini merupakan hasil kerjasama Persatuan Kebajikan Vision21, TravelConnect.sg dan Kelab Masyarakat Kaki Bukit.

"Hari ini kita menjemput keluarga-keluarga daripada lima flat sewa dan juga satu flat daripada warga-warga emas.
"Saya difahamkan di sini (Kaki Bukit) lebih ramai penerima bantuan yang mungkin memerlukan bantuan. Jadi Vision21 sedikit sebanyak di bulan Syawal yang penuh barakah, kita ingin menaja barangan dapur dan juga baju-baju kurung untuk keluarga penerima habuan," kata Presiden Persatuan Kebajikan Vision21, Muhammed Zacree Mohd Zain.
S$10,000 DITAJA BAGI INISIATIF INI
Baju-baju dan pek habuan yang diagihkan itu bernilai S$10,000 dan ditaja sepenuhnya oleh Vision 21 dan TravelConnect.sg.
Menurut Encik Zacree, secara keseluruhan, lebih 8,000 pasang baju kurung baharu diberikan kepada para penduduk kurang bernasib baik di Singapura sepanjang bulan Ramadan dan Syawal ini.
Sebahagian baju-baju kurung yang diberikan juga adalah lebihan daripada inisiatif 'Gift A Baju Kurung' yang dijalankan badan itu pada Ramadan lalu.

Para penerima habuan yang ditemui juga bersyukur atas bantuan yang diberikan.
"Untuk habuan ini baguslah, untuk kita rakyat, penduduk Kaki Bukit ini dapat membantu mereka dan mereka yang memerlukan. Dapat membantu kami semua yang ada kekurangan, yang ada macam keadaan saya ini, berkerusi roda, dapatlah meringankan sikit untuk apa-apa perbelanjaan kehidupan, " kata penerima bantuan, Encik Samat Ahmat.
Seorang lagi penerima turut gembira dapat mengenakan busana baharu pada Hari Raya ini.
"Alhamdulillah baju-baju raya tahun ini masya-Allah semua 'power-power' hendak pakai untuk Hari Raya pun boleh, hendak pakai untuk menjadi pengantin baru pun boleh daripada penaja-penaja kita jadi syukur kepada semua,", seloroh penerima habuan, Encik Shahul Hamid Shaik Fareed.
Selain memberikan habuan kepada mereka yang kurang bernasib baik, penganjur juga berharap ia dapat menyuntik keceriaan Syawal dalam kalangan penduduk di Kaki Bukit.

Turut menyingsing lengan untuk membantu dalam inisiatif itu adalah Penasihat GRC Aljunied, Shamsul Kamar.
"Acara hari ini adalah untuk kami mengeratkan silaturahim dan juga untuk berkongsi suasana Aidilfitri dan juga membina atau memupuk semangat perpaduan antara kita di Kaki Bukit, terutama sekali untuk mereka yang tinggal di flat-flat sewa.
"Ia akan dapat memberi sokongan kepada keluarga-keluarga kita untuk kita melegakan lagi beban-beban atau kos-kos sara hidup yang meningkat yang banyak dialami oleh penduduk-penduduk kita, " kata Encik Shamsul.

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.