Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 100 pelajar S'pura sudah berangkat ke Universiti Al-Azhar Mesir sejak Nov

Bilangan itu mewakili lebih separuh daripada 200 mahasiswa Singapura di universiti itu dan kini "lebih ramai dijangka berangkat" ke Mesir dalam beberapa minggu mendatang.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejak pertengahan bulan November 2020, lebih 100 mahasiswa Singapura yang menuntut di Universiti Al-Azhar sudah kembali ke Mesir untuk menyambung semula pengajian di Kaherah.

Bilangan itu mewakili lebih separuh daripada 200 mahasiswa Singapura di universiti itu dan kini "lebih ramai dijangka berangkat" ke Mesir dalam beberapa minggu mendatang untuk menyambung pendidikan ukhrawi mereka.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mendedahkan deikian sebagai menjawab pertanyaan BERITAmediacorp mengenai bilangan pelajar Universiti Al-Azhar ydari Singapura yang kembali ke sana.

Menurut MUIS, hanya mahasiswa Singapura yang menuntut di Al-Azhar dibenarkan kembali ke sana kerana institusi itu tidak menawarkan kaedah pembelajaran jarak jauh. Sedangkan kebanyakan pelajar lain dapat meneruskan kelas dan peperiksaan mereka di Singapura menerusi pembelajaran jarak jauh.

"MUIS sudah menasihati para pelajar tentang risiko-risiko dan langkah-langkah waspada yang perlu diambil.

"MUIS akan terus memantau keadaan COVID-19 dan menasihati para pelajar mengikut keperluan berhubung penyambungan pengajian mereka di luar negara," menurut badan itu dalam satu jawapan bertulis pada Khamis (31 Dis).

Badan penguasa agama Singapura itu juga mendedahkan bahawa sepanjang pandemik ini, ia sudah memberikan bantuan kepada 75 pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke luar negara. Ini termasuk bagi universiti di Mesir (57 pelajar), Jordan (9), Maghribi (5) dan Arab Saudi (4).

Antaranya sokongan yang diberikan adalah urusan pengesahan dokumen pendidikan dan kemasukan ke universiti luar negara.

Bagi para pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke Mesir, MUIS juga bekerjasama dengan Madrasah Aljunied Al-Islamiah dan Kedutaan Mesir di Singapura untuk membolehkan mereka menduduki peperiksaan kemasukan serta mengikuti kelas-kelas bahasa Arab secara online antara Jun dengan Oktober 2020.

Singapura merupakan negara pertama yang melaksanakan peperiksaan dan kelas online bagi mahasiswa Universiti Al-Azhar.

Terdapat juga lima mahasiswa yang meminta untuk bertukar ke universiti lain di Brunei dan mereka juga diberikan bantuan untuk melakukan demikian.

650 MAHASISWA ISLAM PULANG KE S'PURA SEMASA PANDEMIK COVID-19

MUIS juga mendedahkan kepada BERITAmediacorp bahawa kesemuanya lebih 650 mahasiswa Singapura yang mengikuti pengajian agama di Timur Tengah, Afrika Utara dan rantau Asia Tenggara pulang ke Singapura antara bulan Mac dengan Julai 2020 semasa wabak COVID-19 melanda dunia.

Ini setelah Kementerian Ehwal Luar (MFA) mengeluarkan makluman dan nasihat yang menggalak para pelajar Singapura yang menuntut di luar negara supaya supaya pulang ke tanah air disebabkan keadaan tidak menentu itu.

MUIS menambah ia bekerjasama dengan pelbagai pihak berkuasa dalam urusan membawa pulang 410 daripada pelajar tersebut menaiki pesawat yang disewa khas.

Ia juga memperuntukkan subsidi sebanyak $102,000 buat 180 pelajar untuk membantu mereka membiayai kos tambang penerbangan supaya dapat pulang.

Menurut MUIS, kerjasama dan sokongan yang diterima daripada persatuan-persatuan mahasiswa Singapura di universiti-universiti di Brunei, Malaysia, Mesir, Jordan, Kuwait dan Arab Saudi amat berharga dalam memastikan tadbir urus dan urusan membawa pulang para pelajar berjalan lancar.

Pada 9 September 2020, MUIS mengeluarkan kenyataan nasihat kepada para mahasiswa dan juga lulusan baru madrasah setempat yang tidak dapat meneruskan pengajian mereka ke universiti-universiti yang tidak menawarkan pilihan pembelajaran online supaya menimbangkan untuk berpindah ke institusi yang menawarkannya.

Bantuan dan sokongan yang diberikan itu dikendalikan oleh Pejabat Kerjaya dan Kebajikan Pelajar (SCWO) MUIS menerusi para Pegawai Perhubungan Pelajar (SLO) yang dikerahkan ke rantau-rantau di mana terdapat para penuntut Singapura.

300 MAHASISWA UKHRAWI MANFAATKAN PELBAGAI PROGRAM KEMAHIRAN

Sebelum COVID-19, semasa tempoh cuti musim panas, MUIS lazimnya menganjurkan program-program pembangunan seperti sesi-sesi dialog, bengkel dan kegiatan luar sebagai usaha mempersiap para pelajar bagi masa depan.

Dalam tahun 2020, MUIS mempergiat usaha-usaha sedemikian menerusi program-program kemahiran dan pembelajaran online sebaik sahaja para pelajar pulang ke tanah air.

Antara bulan Ogos dengan Disember 2020, sebanyak 41 webinar, bengkel dan sesi pendampingan sudah dianjurkan dan dimanfaatkan oleh sekitar 300 mahasiswa.

Ini termasuk bengkel pemasaran digital, persiapan kemahiran kerjaya, komunikasi dan kesihatan mental.

(Gambar: MUIS)

Mahasiswa Universiti Al Azhar, Muhammad Nur Hadi Musa. (Gambar: MUIS)

Mahasiswa Universiti Al Azhar, Muhammad Nur Hadi Musa, sudah mengikuti sekitar 16 program dan bengkel kendalian SCWO apabila berada di Singapura. Antaranya bengkel menulis resume dan kemahiran temuduga, webinar 'Mengoptimumkan Media Sosial untuk Penyebaran Islam' dan kemahiran menggunakan sofwe suntingan gambar, Adobe Photoshop.

"Sebagai mahasiswa yang mendalami bidang agama, saya percaya bahawa ada kepentingan yang sangat besar. Malah, jika kita lihat, kemahiran seperti bijak digital dan teknologi telah menjadi satu asas bagi pekerjaan kini dan masa hadapan. Ini juga satu petanda bahawa mahasiswa harus sentiasa bersikap terbuka dan ingin ambil tahu kemahiran-kemahiran baru dikala menuntut dan mencari ilmu agama. 

"Dinamik dakwah juga bergantung pada kesesuaian zaman dan terbukti dengan situasi kita sekarang ini di mana peratusan besar kelas-kelas agama diadakan secara atas talian," kata Hadi, mahasiswa tahun satu dalam jurusan Usuluddin.

15 MAHASISWA JALANI LATIHAN AMALI

Sejak tahun 2018, sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan kumpulan asatizah yang bersedia bagi masa depan, MUIS menawarkan program latihan amali dua bulan di beberapa organisasi dan sektor khidmat awam.

Ini termasuk di masjid-masjid, Yayasan Rahmatan Lil 'Alamin Singapura, Warees Investments, Darul Arqam, Majulah Community malah di MUIS sendiri.

SCWO mempertingkat usahanya untuk menawarkan lebih banyak peluang latihan amali dalam tahun 2020 sekali gus membolehkan para mahasiswa menjana pendapatan semasa berada di Singapura.

Seramai 15 mahasiswa menjalani latihan amali tersebut antara bulan Ogos dengan Oktober 2020.

Salah seorang daripadanya adalah mahasiswa tahun empat jurusan Bahasa dan Kesusasteraan Arab di Universiti Yarmouk, Jordan, Nurushshazwani Sabran.

CONTOH LATIHAN BEKERJA

SCWO menempatkan Shazwani di syarikat Wareesan Management, yang juga dikenali sebagai Pejabat Penggalian Jenazah Perkuburan Muslim (Muslim Cemetary Exhumation Office) bagi latihan amali selama dua bulan.

Mahasiswa tahun 4 jurusan Bahasa dan Kesusasteraan Arab di Universiti Yarmouk, Jordan, Nurushshazwani Sabran. (Gambar: MUIS)

(Gambar: MUIS)

Dia bertanggungjawab menyiapkan kolateral maklumat dan belanjawan dalam bahasa-bahasa berbeza bagi Fasa 8 Projek Penggalian.

"Saya didedahkan kepada proses-proses penggalian di tanah perkuburan, di mana saya belajar tentang kaedah dan persediaannya. Saya juga diberi peluang menyaksikan proses-proses penggalian di tanah perkuburan dan membantu mengendalikan jadual penggalian.

"Saya banyak belajar bukan setakat prosesnya tetapi juga etika di pejabat, tadbir urus malah kemahiran hidup. Ini kerana rakan-rakan sekerja sentiasa memberikan nasihat dan peringatan. Bukan itu sahaja, latihan amali ini memperhalusi kemahiran saya dan memberi peluang saya membangunkan diri saya," kata Shazwani.

Oleh kerana Shazwani menjalankan tugasnya dengan baik dan bersikap positif, Wareesan melanjutkan tempoh latihan amalinya.

Bagi pelajar tersebut, inisiatif SCWO itu sesuatu yang baik yang memberi pendedahan baru kepada para mahasiswa sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan.

"Program ini memberi kami peluang untuk mengetahu bagaimana suasana bekerja dan saya rasa ini penting supaya kita boleh bersedia dari segi mental. Pengalaman itu memberikan kami idea tentang laluan kerjaya yang kami inginkan," ujar Nurshazwani.

72 PELAJAR UNIVERSITI ISLAM JADI DUTA JARAK SELAMAT

Lagi 72 pelajar pula berkhidmat sebagai Duta Jarak Selamat (SDA) di masjid-masjid setempat antara bulan September dengan Disember 2020.

Malah, mereka juga diberi peluang untuk memikul tanggungjawab menjalankan projek dan kajian di masjid-masjid sebagai sebahagian daripada usaha untuk memberikan mereka lebih banyak pendedahan dalam sektor masjid selain bagi pembangunan diri mereka sendiri.

Menurut MUIS, buat masa ini, kebanyakan mahasiswa boleh mengikuti kelas dan peperiksaan mereka secara online dari Singapura.

Selain itu, MUIS menasihat para mahasiswa yang kembali menyambung pengajian di luar negara tentang risikonya dan langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil sebelum melakukannya.

MUIS menambah, ia akan terus memantau keadaan COVID-19 dan memberikan nasihat kepada para mahasiswa. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan