Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 100 kucing peliharaan milik 30 keluarga berpendapatan rendah dikembiri, dipasang mikrocip secara percuma

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih 100 kucing milik kira-kira 30 keluarga berpendapatan rendah telah dikembiri dan dipasang dengan mikrocip secara percuma di Pusat Pengurusan Haiwan hari ini (16 Sep).

Ia diadakan sempena Hari Pengembirian Kucing Peliharaan di bawah program Sokongan Pengembirian Kucing Peliharaan (PCSS).
--
Program pengembirian kucing peliharaan diteruskan susulan kejayaan tiga hari percubaan yang telah dilaksanakan pada November 2023 serta pada Februari dan Mei tahun ini.

Dalam tempoh tersebut, Agensi Kesihatan Haiwan dan Veterinar (AVS) telah mengembirikan dan memasang mikrocip pada lebih 270 ekor kucing peliharaan.

Program itu dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Kucing (CWS), Persatuan Veterinar Singapura (SVA), dan Politeknik Temasek.

PEMILIK HAIWAN PELIHARAAN MESTI LEBIH BERTANGGUNGJAWAB

Menteri Negara bagi Pembangunan Negara dan Ehwal Dalam Negeri, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang hadir di acara tersebut, menegaskan kepentingan sikap tanggungjawab dalam kalangan pemilik haiwan peliharaan.

Lantaran itu, beliau menggalakkan para pemilik haiwan peliharaan untuk mengambil langkah proaktif dalam mengembirikan kucing mereka.

Beliau menekankan bahawa pengembirian bukan sahaja penting untuk kesejahteraan haiwan, tetapi juga untuk mengurangkan masalah berkaitan pembiakan yang tidak terkawal.

--

"Saya ingin menyarankan kepada semua pemilik kucing untuk menjalankan proses pelesenan di mana mereka boleh mendapatkan mikrocip dan juga proses pengembirian kucing mereka. Dengan adanya proses ini, mereka boleh memelihara kucing yang sedia ada di dalam isi rumah mereka. Justeru, ini akan mendatangkan kebaikan kepada kucing-kucing ini dan juga menjaga kebajikan mereka," ujar Dr Faishal.

Program PCSS menyokong keluarga berpendapatan rendah dengan menyediakan perkhidmatan kembiri dan memasang mikrocip secara percuma untuk kucing-kucing peliharaan mereka.

Ini bagi mengatasi masalah pembiakan tidak terkawal kucing peliharaan dalam kalangan keluarga yang tidak mampu menanggung kos untuk mengembirikan kucing-kucing peliharaan mereka.

LANGKAH-LANGKAH KESELAMATAN DIAMBIL SEBELUM KUCING DIKEMBIRIKAN

Pengarah Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS), Dr Lin Anhui berkata pelbagai langkah keselamatan diambil untuk memastikan kebajikan kucing sebelum menjalani prosedur pengembirian.

Menurutnya, kucing-kucing tersebut tidak diberikan makanan atau minuman selama 12 jam sebelum prosedur pengembirian.

Langkah itu diambil untuk mengelakkan risiko muntah dan masalah radang paru-paru.

Doktor haiwan juga memastikan kucing-kucing tersebut tidak mengalami sebarang masalah jantung dan berada dalam keadaan sihat sebelum disuntik dengan ubat bius.

--

"Selepas kucing-kucing itu dikembirikan, kami akan memastikan ia pulih dengan baik selepas disuntik dengan ubat bius dan memberikan ubat tahan sakit. Lazimnya, kucing-kucing akan pulih dengan cepat selepas menjalani pembedahan. Meskipun begitu, kami menasihatkan para pemilik agar menghadkan pergerakan kucing mereka di rumah," jelas Dr Lin kepada wartawan Nur Arina Ahmad Anis.

MANFAAT KEMBIRI KUCING

Pengembirian kucing peliharaan membawa pelbagai manfaat dari segi kesihatan dan tingkah laku yang penting.

Prosedur itu tidak hanya meningkatkan kesejahteraan haiwan, tetapi juga membawa manfaat kepada para pemilik dan masyarakat secara keseluruhan.

"Pengembirian mengurangkan risiko barah pada saluran pembiakan dan juga memberikan manfaat dari segi tingkah laku. Contohnya, kucing yang dikembirikan kurang cenderung untuk merayau dan mengeluarkan bunyi bising. Ia juga kurang berkemungkinan terlibat dalam pergaduhan dan menyembur air kencing. Oleh itu, ini membawa banyak manfaat bukan sahaja kepada kucing dan pemiliknya, tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhan," tambah Dr Lin lagi.

Beliau mengesyorkan agar kucing peliharaan dikembirikan pada usia enam bulan atau lebih awal kerana kucing boleh mula membiak seawal usia empat bulan, menjadikan pengembirian awal sebagai langkah pencegahan yang penting.

Menurut Dr Lin, prosedur pengembirian untuk kucing jantan biasanya memakan masa sekitar satu jam, manakala bagi kucing betina, proses itu mengambil masa kira-kira 1.5 jam.

Satu lagi Hari Pengembirian Kucing Peliharaan akan diadakan menjelang akhir tahun ini.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan