Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 100 kes denggi dilaporkan setiap minggu, risiko jangkitan kekal tinggi

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 100 kes denggi dilaporkan setiap minggu, risiko jangkitan kekal tinggi

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 25 Mar 2023 09:28PM Dikemas Kini : 25 Mar 2023 09:29PM
SINGAPURA: Jumlah kes mingguan denggi di Singapura kekal pada paras melebihi 100 sejak bermulanya tahun ini, dengan lebih 2,000 kes dilaporkan setakat 24 Mac.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Sabtu (25 Mac) menyatakan buat masa ini terdapat 39 kelompok aktif denggi di Singapura dan risiko penularan jangkitan denggi "kekal tinggi".

"Salah satu faktor yang menyumbang kepada jumlah asas mingguan yang agak tinggi pada awal 2023 adalah jumlah nyamuk Aedes aegypti yang tinggi dikesan dalam kalangan masyarakat, iaitu 16 peratus lebih tinggi berbanding Februari 2022," menurut NEA dalam kenyataan medianya.

Satu lagi sebab adalah kelaziman berterusan serotaip virus denggi yang kurang biasa sebelum ini (DENV-3), yang dikesan dalam kelompok besar denggi di merata Singapura.

"Pendedahan masyarakat, dan seterusnya imuniti, kepada DENV-3 adalah rendah, meskipun serotaip itu merupakan penyebab utama penularan denggi tahun lalu," menurut NEA.

Jika dibiarkan, kewujudan penyebab utama penularan denggi mungkin membawa kepada satu lagi penularan tahun ini, tambahnya.

Lebih banyak penularan denggi biasanya dilihat berlaku pada bulan-bulan yang panas dari Jun hingga Oktober disebabkan peningkatan pantas vektor nyamuk Aedes dan penularan lebih pantas virus denggi dalam kalangan nyamuk.

"Sedang NEA menjangkakan lonjakan jumlah kes denggi dalam bulan-bulan mendatang, penting untuk semua penduduk dan pihak berkepentingan mengambil tindakan segera untuk mengawal jumlah nyamuk Aedes serta penularan jangkitan penyakit," menurut NEA.

Pada Sabtu, NEA melancarkan kempen tahunan Pencegahan Denggi Negara menjelang kemuncak musim denggi.

Setiausaha Kanan Parlimen Kemampanan dan Sekitaran Baey Yam Keng menggesa orang awam dan pihak-pihak berkepentingan supaya bersama-sama mengambil tindakan segera untuk mengurangkan habitat pembiakan nyamuk.

6 KALI LEBIH BANYAK KES DENGGI PADA 2022 BERBANDING 2021

Menurut NEA, sebanyak 32,173 kes denggi dilaporkan pada 2022, iaitu jumlah tahunan kedua tertinggi selepas 35,266 pada 2020.

Jumlah kes yang dilaporkan pada 2022 juga enam kali lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

"Pada 2022, NEA menjalankan sekitar 911,000 pemeriksaan bagi nyamuk di merata negara dan mendapati sekitar 23,600 tempat pembiakan nyamuk," menurut NEA.

"Di kawasan-kawasan kelompok denggi, sekitar 66 peratus tempat pembiakan nyamuk Aedes dikesan di rumah-rumah, 26 peratus di tempat awam dan tiga peratus di tapak-tapak binaan."

NEA juga menjalankan 11,800 tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik premis atas kesalahan pembiakan nyamuk, dengan sekitar 750 denda dan 129 arahan henti kerja dikeluarkan di tapak-tapak binaan. Tujun puluh lima kontraktor juga didakwa di mahkamah atas kesalahan berulang.

Untuk mengurangkan lagi jumlah denggi, NEA menggesa setiap orang mengekalkan keadaan rumah baik dan memastikan langkah-langkah penting kawalan vektor dilakukan di semua premis di bawa tanggungjawab mereka.

Penduduk, terutama sekali mereka yang menetap di kawasan kelompok denggi, diingatkan supaya mengambil langkah untuk melindungi diri mereka sendiri.

Ini termasuk menyembur racun serangga di sudut-sudut gelap di sekitar rumah, menggunakan pembunuh serangga seara kerap dan memakai baju lengan panjang dan seluar panjang.

Pihak-pihak berkepentingan juga harus mengambil tindakan segera untuk membendung jumlah nyamuk Aedes dan penularan jangkitan. Ini termasuk mengambil langkah-langkah seperti menggembur tanah yang keras, mengangkat dan mengosongkan alas pasu serta menelangkupkan baldi dan mengelap kering bahagian tepinya.
Sumber : CNA/NK/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan