Skip to main content

Singapura

Lebih 100 kenderaan asing disiasat pada 2025, disyaki sediakan khidmat rentas sempadan haram; kebanyakannya masih ditahan, menurut LTA

Lebih 100 kenderaan berdaftar luar negara disiasat tahun ini kerana disyaki terlibat dalam perkhidmatan pengangkutan penumpang rentas sempadan secara haram, dengan kebanyakannya masih ditahan sementara siasatan dan prosiding mahkamah dijalankan.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 100 kenderaan asing disiasat pada 2025, disyaki sediakan khidmat rentas sempadan haram; kebanyakannya masih ditahan, menurut LTA

Hanya teksi berdaftar Malaysia yang memiliki Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam dan Permit Kenderaan Perkhidmatan Awam ASEAN yang dikeluarkan oleh LTA boleh menawarkan perkhidmatan teksi rentas sempadan. (Gambar fail: CNA/Ooi Boon Keong)

SINGAPURA: Lebih 100 kenderaan berdaftar luar negara disiasat tahun ini kerana disyaki terlibat dalam perkhidmatan pengangkutan penumpang rentas sempadan secara haram, dengan kebanyakannya masih ditahan sementara siasatan dan prosiding mahkamah dijalankan.

Sebahagian daripada kenderaan-kenderaan tersebut mungkin berdaftar dengan syarikat pelancongan Malaysia, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam maklum balasnya kepada pertanyaan Mediacorp pada Khamis (4 Sep).

Akhbar Malaysia, The Star, pada 24 Ogos melaporkan bahawa pihak berkuasa Singapura merampas kenderaan pelbagai guna (MPV) milik kira-kira 400 agensi pelancongan Malaysia. Laporan itu juga menyatakan bahawa MPV berkenaan masih ditahan di Singapura – sebahagiannya selama berbulan-bulan – walaupun denda sudah dibayar.

Namun, LTA menjelaskan kepada Mediacorp bahawa pembayaran denda “tidak menjamin kenderaan yang terlibat akan dilepaskan”.

Seorang jurucakap berkata: “Jika pemandu disabitkan kesalahan, prosiding bagi rampasan berasingan akan dijalankan untuk menentukan sama ada kenderaan itu juga perlu dirampas.

“Jika siasatan mendapati kenderaan tersebut tidak terlibat dalam perkhidmatan titik-ke-titik (point-to-point) secara haram, LTA akan melepaskan kenderaan berkenaan kepada pemiliknya dengan segera.”

Pihak berkuasa menambah bahawa tiada yuran dikenakan sementara kenderaan-kenderaan tersebut ditahan.

Sejak 2022, LTA menahan 136 pemandu kerana menyediakan perkhidmatan rentas sempadan secara haram menggunakan kenderaan berdaftar asing. Mereka yang didapati bersalah menyediakan perkhidmatan kereta sewa secara haram boleh dikenakan denda sehingga S$3,000 dan/atau penjara enam bulan. Kenderaan mereka juga boleh dirampas.

Pesalah berulang akan berdepan hukuman yang lebih berat, dan kenderaan mereka boleh dirampas.

LTA menyatakan bahawa terdapat skim yang membenarkan syarikat-syarikat pelancongan Malaysia melesenkan bas pelancongan untuk membawa pelancong ke dan dari Singapura. Ini termasuk Perkhidmatan Bas Ekspres Antara Bandar dengan tempat berhenti tetap di Singapura serta bas pelancongan bagi tujuan melawat tempat-tempat yang menarik.

Semua bas berdaftar Malaysia mesti mendapatkan Permit Kenderaan Perkhidmatan Awam ASEAN (PSVP) untuk menjalankan perkhidmatan rentas sempadan dengan Singapura.

Sebaliknya, Permit Masuk Kenderaan (VEP) dikeluarkan bagi kereta dan motosikal berdaftar asing untuk membolehkan mereka memasuki Singapura untuk tujuan peribadi.

Namun, VEP “bukan skim pelesenan untuk perkhidmatan teksi atau tujuan komersial lain, termasuk pengangkutan bagi para pelancong,” menurut LTA, sambil menambah bahawa permohonan daripada individu atau entiti komersial yang berhasrat untuk menyediakan perkhidmatan sewa-dan-ganjaran, khidmat kereta sewa atau pengangkutan penumpang akan ditolak.

“Walaupun dengan VEP, kereta berdaftar Malaysia, termasuk kereta sewa privet, dilarang menyediakan perkhidmatan pengangkutan penumpang rentas sempadan ke atau di dalam Singapura,” menurut LTA.

Hanya teksi berdaftar Malaysia yang memiliki Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam dan PSVP yang dikeluarkan oleh LTA dibenarkan untuk menyediakan perkhidmatan teksi rentas sempadan.

LTA memberitahu Mediacorp pada Julai bahawa hanya pengendali berlesen dari kedua-dua negara dibenarkan menyediakan perkhidmatan rentas sempadan, dengan setiap negara diperuntukkan kuota sebanyak 200 teksi bagi perkhidmatan tersebut. Terdapat kira-kira 300 pemandu teksi rentas sempadan berlesen di Singapura dan Malaysia secara keseluruhan.

PENGUATKUASAAN BERTERUSAN

Usaha penguatkuasaan terhadap kenderaan asing yang melanggar undang-undang Singapura akan diteruskan, menurut LTA.

Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow, Menteri Negara Kanan Sun Xueling, Kementerian Pengangkutan dan LTA pada minggu lalu bertemu wakil-wakil dari Persatuan Teksi Nasional (NTA), Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA) dan Persatuan Teksi Singapura-JB untuk membincangkan isu pengangkutan titik-ke-titik rentas sempadan.

Antara isu yang dibincangkan ialah usaha untuk mengekang kenderaan haram. Perkhidmatan titik-ke-titik rentas sempadan haram mencetuskan persaingan tidak adil dan risiko keselamatan, menurut NTA dan NPHVA.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, LTA menjalankan rondaan di Taman di Pesisiran dan Lapangan Terbang Changi, selain bekerjasama dengan Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) di pusat pemeriksaan darat untuk membanteras perkhidmatan haram tersebut.

Para pelancong turut dinasihati untuk menggunakan teksi, bas dan kereta api yang sah bagi perjalanan rentas sempadan.

Untuk melaporkan perkhidmatan pengangkutan rentas sempadan haram, orang ramai boleh memberikan maklumat kepada LTA seperti nombor pendaftaran kenderaan, tarikh, masa dan butiran kejadian menerusi borang online ini.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita