Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 100 belia pelbagai latar belakang sertai Cabaran Futsal Harmoni CDC Tenggara 2024

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Memupuk keharmonian kaum dan perpaduan sosial dalam kalangan golongan belia di Singapura melalui sukan.

CDC Tenggara berjaya mencapai matlamat tersebut menerusi acara Cabaran Futsal Harmoni Datuk Bandar @ CDC Tenggara 2024 yang dianjurkan pada Ahad (14 Jul).

Lebih 100 atlit remaja dan belia dari pelbagai latar belakang memeriahkan acara itu, yang berlangsung di SAFRA Tampines, menjelang Hari Keharmonian Kaum pada hujung minggu depan.

Acara tersebut hasil kerjasama dengan OnePeople.sg (OPSG), badan pendukung inisiatif-inisiatif keharmonian kaum.

Sebanyak 16 pasukan mengambil bahagian dalam acara tersebut, yang terbahagi kepada dua kategori - Bawah 16 Tahun dan Bawah 21 Tahun, menurut kenyataan media CDC Tenggara pada Ahad. Para peserta mewakili pertubuhan-pertubuhan masyarakat dan sekolah-sekolah tempatan.
Gambar: CDC Tenggara
Datuk Bandar CDC Tenggara Fahmi Aliman turut turun padang untuk beraksi dalam perlawanan persahabatan yang diadakan sempena acara tersebut, termasuk beberapa anggota Majlis CDC Tenggara, serta tetamu khas lain seperti pencipta kandungan Dasa Dharamahsena (@dasdyl), Shaun Tan (@shaunye_) dan Zaki Hussain (@zakiv4).
Gambar: CDC Tenggara
Perlawanan persahabatan itu, yang menyaksikan barisan pemimpin masyarakat menentang pasukan juara kategori Bawah 21 Tahun, bukan sahaja menyemarakkan lagi suasana di acara tersebut bahkan, menonjolkan semangat persaingan yang sihat dan sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Mengulas mengenai sambutan yang memberangsangkan itu, Encik Fahmi berkata: "Para hadirin terdiri daripada gabungan atlit muda yang bersemangat dan (dari pelbagai lapisan masyarakat).

"Sukan berfungsi sebagai jambatan untuk memahami dan menghormati, di samping menyatukan belia dari latar belakang yang berbeza untuk belajar dan maju bersama. Dengan memupuk interaksi sedemikian melalui permainan seperti ini, kami menanam benih untuk masa depan yang lebih bersatu dan inklusif."

Dalam mengiktiraf kesungguhan para peserta beraksi dalam cabaran itu, beberapa pasukan yang menunjukkan prestasi cemerlang tidak pulang dengan tangan kosong.

Pasukan yang menjuarai cabaran tersebut membawa pulang sebuah trofi dan baucar tunai bernilai S$800. Manakala, pasukan yang menduduki tempat kedua dan ketiga pula masing-masing menerima hadiah berupa baucar tunai bernilai S$600 dan S$400.

Sebelum berlangsung acara kemuncak futsal tersebut, satu Lawatan Pembelajaran Harmoni, Bengkel Harmoni dan Klinik Futsal turut dianjurkan. Ia sekali gus menyerlahkan usaha CDC Tenggara dalam menggalakkan pemahaman berbilang kaum dan agama, serta menguatkan lagi penghargaan dan keyakinan dalam kalangan para peserta.

Inisiatif kelolaan CDC Tenggara itu memberi peluang kepada para peserta muda untuk mempelajari dan menghargai perpaduan dan kerjasama dalam masyarakat.

Ia juga sejajar dengan usaha berterusan CDC Tenggara untuk membina masyarakat yang menjunjung nilai-nilai berbilang budaya dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan