Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 100,000 set pelitup percuma Yayasan Temasek diambil pada hari pertama pengagihan

Hari pertama pengagihan pelitup percuma oleh Yayasan Temasek menyaksikan sambutan menggalakkan dengan lebih 100,000 isi rumah mendapatkannya pada Khamis (26 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hari pertama pengagihan pelitup percuma oleh Yayasan Temasek menyaksikan sambutan menggalakkan dengan lebih 100,000 isi rumah mendapatkannya pada Khamis (26 Ogos).

Yayasan Temasek menyatakan orang ramai tidak perlu tergesa-gesa kerana terdapat stok yang memadai bagi semua.

ORANG RAMAI MULA BERATUR SEJAM SEBELUM AGIHAN BERMULA

Seawal jam 8 pagi lagi, orang ramai sudah mula beratur di cawangan pasar raya Sheng Siong di Blok 720 Clementi Street 2 untuk mendapatkan pelitup percuma dari Yayasan Temasek.

Ini walaupun pengagihan hanya bermula pada jam 9 pagi.

(Gambar: Syawal Yusoff)

(Gambar: Syawal Yusoff)

Setiap isi rumah yang layak boleh mendapatkan 50 pelitup pembedahan gred perubatan dan 25 pelitup N95.

Meskipun pengagihan berjalan lancar, ada juga yang datang beratur terpaksa pulang dengan tangan kosong.

Ini kerana mereka tidak membawa bil elektrik SP Group yang diperlukan untuk mendapatkan pelitup-pelitup ini.

(Gambar: Syawal Yusoff)

(Gambar: Syawal Yusoff)

BOLEH TUNJUKKAN KERTAS BIL, DIGITAL ATAU NOMBOR AKAUN SP GROUP

Untuk mengambil pelitup, orang ramai perlulah menunjukkan kertas bil elektrik atau bil digital yang boleh didapatkan menerusi aplikasi SP Group kepada pegawai bertugas.

Jika terlupa membawa kertas atau bil digital, orang ramai juga boleh sahaja memberikan nombor akaun SP Group mereka bagi mendapatkan pelitup percuma ini.

(Gambar: Syawal Yusoff)

(Gambar: Syawal Yusoff)

Oleh kerana pelitup-pelitup itu diberi menerusi bungkusan kotak, Yayasan Temasek menasihatkan orang ramai untuk membawa beg guna semula sendiri kerana tiada sebarang beg yang akan diberikan.

Semasa kunjungan BERITAmediacorp pada Khamis (26 Ogos), sekurang-kurangnya 1,000 set pelitup sudahpun diagihkan dalam masa lima jam pertama di cawangan Sheng Siong di Clementi Street 2.

Dalam pada itu, para penerima yang ditemui turut mengalu-alukan pengagihan dua jenis pelitup kali ini.

"Kalau yang pelitup N95 itu memang baguslah. Orang kata pelitup N95 itu beri lebih perlindungan, bukan?" kata suri rumah, Cik Ramlah Hasbollah.

Bagi pekerja dormitori, Encik Yong Kim Chuan pula, dia yakin pelitup N95 itu dapat memberinya lebih perlindungan.

"Kalau ada kes yang dekat di rumah atau kena tempat yang banyak kes, kita pakai N95."

PERIKSA DULU STOK DAN LOKASI TERPILIH SEBELUM MENGAMBIL PELITUP

Sebelum ini, Yayasan Temasek juga pernah mengagihkan oksimeter dan pelitup guna semula percuma kepada semua isi rumah.

Jika sebelum ini, orang ramai boleh mengambil pelitup guna semula percuma oleh Yayasan Temasek melalui mesin layan diri, kali ini mereka perlu mengambilnya dari salah satu daripada 131 lokasi merata negara.

"Kakak suka yang inilah sebab terlanjur kakak nak pergi Sheng Siong nak beli barang kan, jadi ambil sekali senang kan. Tak payah datang lagi," kata suri rumah, Cik Mamariah Mansor.

Cik Ramlah pula berpendapat: "Ia ada baik dengan yang tak baiknya. Kalau yang mesin kita boleh dalam tempoh 24 jam bila-bila masa kita boleh ambil kan tapi macam ini kita kena beratur makan masa juga kan."

(Gambar: Syawal Yusoff)

(Gambar: Syawal Yusoff)

Walaupun cawangan Sheng Siong itu beroperasi 24 jam, orang ramai hanya boleh mengambil pelitup di cawangan tersebut dari jam 9 pagi hingga 9 malam setiap hari.

Selain beberapa cawangan Sheng Siong, orang ramai boleh ke lokasi lain termasuk pasar raya Prime, NTUC FairPrice Xtra, Cold Storage dan Giant serta pusat beli-belah CapitaLand terpilih untuk mendapatkan pelitup percuma mereka.

Di pusat beli-belah CapitaLand misalnya, orang ramai boleh mengambilnya dari kaunter khidmat pelanggan. Mereka juga mungkin perlu mengambil nombor giliran.

Pengagihan akan berlangsung selama sebulan hingga 26 September 2021.

Orang ramai boleh ke lelaman stayprepared.sg/masks untuk mendapatkan maklumat tentang tempat dan masa operasi serta kadar stok pelitup yang tersedia di setiap lokasi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan