Skip to main content

Singapura

Lebih 10% kenderaan berat Changi Airport Group guna diesel boleh diperbaharui dari minyak masak terpakai

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 Aug 2025 10:24PM Dikemas Kini : 19 Aug 2025 10:39PM
SINGAPURA: Lebih 10 peratus kenderaan berat berkuasa diesel milik Changi Airport Group menggunakan diesel yang boleh diperbaharui.

Ia diperbuat daripada minyak masak terpakai dari premis-premis F&B di lapangan terbang serta bahan buangan lain.

Ini merupakan sebahagian daripada ujian perintis selama enam bulan untuk menilai prestasi dan kecekapan bahan api tersebut.

Hasil dapatan awal menunjukkan, diesel boleh diperbaharui berfungsi sama baik dengan bahan api konvensional, tetapi lebih mesra alam.

Ini sebahagian daripada usaha Singapura yang mahukan semua kenderaan menggunakan tenaga yang lebih bersih menjelang tahun 2040.

Minyak masak merupakan antara bahan utama di kebanyakan restoran.

Di Lapangan Terbang Changi, minyak masak terpakai itu akan dimanfaatkan di luar dapur.

Ia akan dikitar semula dan ditapis menjadi diesel boleh diperbaharui untuk kenderaan-kenderaan di kawasan lapangan terbang.

Setiap bulan, Lapangan Terbang Changi mengumpul lebih 11 tan minyak dari kedai-kedai makanan dan minuman (F&B) yang mengambil bahagian, di keempat-empat terminalnya.

Minyak masak terpakai akan dicampurkan dengan sisa dan bahan buangan lain, seperti lemak haiwan, untuk menghasilkan diesel boleh diperbaharui di loji penapisan Neste Singapura.

Ujian kemudian akan dijalankan untuk mengesahkan kandungannya.

Kos diesel boleh diperbaharui mampu mencecah sehingga dua kali ganda berbanding yang biasa.

Namun Neste dan Changi Airport Group menyatakan, manfaatnya berbaloi.

Ketua Hal Ehwal Awam & Peraturan, APAC, Neste Steven Bartholomeusz berkata: "Diesel boleh diperbaharui, perkara pertama yang perlu diberi perhatian ialah ia adalah bahan api sintetik. Maksudnya, ia boleh digunakan dalam enjin dan infrastruktur sedia ada tanpa sebarang perubahan.

"Jadi dari segi prestasi, kami mendapati, prestasi pada enjin adalah lebih baik."

Naib Presiden, Hal Ehwal Peraturan & Kemampanan, CAG Gerald Ng berkata: "Fasa pertama ujian perintis berjaya diselesaikan, di mana kami menggunakan campuran 50 peratus diesel boleh diperbaharui untuk kenderaan berat dan kenderaan khusus.

"Kami kini sudah bergerak ke fasa kedua ujian, iaitu penggunaan 100 peratus diesel boleh diperbaharui untuk kenderaan yang sedang diuji. Dan jika hasilnya baik, ini akan menjadi satu pilihan yang sangat penting bagi kami sedang kami menuju ke arah usaha mengurangkan karbon bagi jangka panjang bagi Lapangan Terbang Changi. "

Bergantung kepada hasil ujian, CAG merancang untuk menggunakan diesel boleh diperbaharui bagi lebih banyak kenderaan.

Kesemua penjana elektrik di lapangan terbang juga akan menggunakan bahan api yang lebih hijau.
 
Sumber : CNA/NY/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita