Skip to main content

Singapura

Lebih 1 juta isi rumah HDB bakal terima rebat U-Save, S&CC pada April 2026

Lebih sejuta isi rumah warga Singapura yang tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan menerima U-Save dan rebat Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC) pada April, menurut Kementerian Kewangan (MOF) pada Selasa (31 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 31 Mar 2026 02:02PM Dikemas Kini : 09 Apr 2026 02:14AM
SINGAPURA: Lebih sejuta isi rumah warga Singapura yang tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan menerima U-Save dan rebat Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC) pada April, menurut Kementerian Kewangan (MOF) pada Selasa (31 Mac).

Rebat tersebut merupakan sebahagian daripada Skim Baucar GST (GSTV) Tetap yang bertujuan membantu mengimbangi perbelanjaan utiliti serta S&CC bagi isi rumah HDB yang berpendapatan rendah dan sederhana, menurut kementerian tersebut dalam satu kenyataan media.

Rebat pada April ini merupakan agihan suku tahunan pertama bagi skim tersebut untuk tahun kewangan 2026.

Isi rumah yang layak akan menerima sehingga S$190 rebat GSTV–U-Save bulan depan, bergantung kepada jenis flat HDB mereka, menurut MOF.

Mereka juga akan menerima sehingga satu bulan rebat S&CC pada April, bergantung kepada jenis flat HDB, tambahnya.
Related article image
Related article image
“Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2026, rebat tambahan U-Save juga akan diberikan pada April dan Julai, selain rebat GSTV–U-Save biasa, bagi membantu isi rumah HDB warga Singapura menampung perbelanjaan utiliti mereka,” tambahnya.

Isi rumah yang layak akan menerima sehingga S$570 rebat U-Save dan sehingga 3.5 bulan rebat S&CC pada tahun kewangan ini.

“Tiada tindakan lanjut diperlukan oleh isi rumah yang layak,” menurut MOF.

“Rebat U-Save akan dikreditkan terus ke dalam akaun utiliti isi rumah dengan SP Services dan rebat S&CC akan disalurkan terus ke dalam akaun S&CC isi rumah dengan majlis bandaran masing-masing.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita