Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 1,000 slot umrah, 60 pakej kini ditawarkan agensi-agensi umrah S'pura bagi Nov & Dis

Lebih 1,000 slot umrah kini ditawarkan agensi-agensi umrah Singapura bagi bulan November dan Disember 2021. 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Lebih 1,000 slot umrah kini ditawarkan agensi-agensi umrah Singapura bagi bulan November dan Disember 2021.

Demikian menurut pemeriksaan BERITAmediacorp yang mendapati bahawa kini ada sekurang-kurangnya 60 pakej umrah yang ditawarkan 9 syarikat tempatan.

(Gambar: Facebook/ Shahidah Travel & Tours)

Syarikat TravelConnect.sg misalnya memberitahu kami ia akan menawarkan 11 pakej bagi sekitar 200 jemaah.

TM Fouzy Travel & Tours dan Hahneman Travel & Tours menawarkan lapan pakej sejauh ini manakala Jalaluddin Travel & Services pula menawarkan paling banyak pakej - iaitu 17 bagi November dan Disember.

Hari ini (4 Nov), dua rombongan - satu dari Noah Travel and Tours dan satu dari Shahidah Travel & Tours - sudahpun berlepas ke Arab Saudi petang tadi. Rombongan umrah Singapura itu meliputi 40 jemaah, iaitu 25 dari Noah Travel dan 14 dari Shahidah Travel.

Ia sekali gus menjadikannya rombongan umrah pertama Singapura sejak lebih setahun setengah yang lalu, apabila COVID-19 diisytiharkan sebagai suatu pandemik.

RASA GHAIRAH, GEMENTAR DAPAT BERANGKAT

Antara jemaah yang menyertai rombongan sulung Noah Travel itu ialah Cik Haryani Othman. Semasa diwawancara BERITAmediacorp pagi tadi, beliau tidak menyembunyikan rasa ghairah bercampur gemuruh untuk berangkat umrah.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Ini kerana sudah lebih setahun Cik Haryani tidak ke luar negara. Kini keberangkatannya yang pertama menaiki pesawat ialah untuk ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah umrah.

Sebenarnya baru Februari tahun lalu beliau mengunjungi Makkah sebelum ia ditutup kepada jemaah Singapura dek pandemik. Pemergian kali ini ialah demi 'melepas rindu', kata beliau.

"Rasa bertuah sangat dan juga tak sabarlah nak tengok apa perbezaannya sebelum dan selepas pandemik ini. Ada sedikit gementar pun ada juga pasal katanya ada beberapa benda yang harus pakai aplikasi. Dan sebelum ini 72 jam sebelum kita berangkat kan nak kena buat swab test PCR.

"Jadi walaupun tak ada simptom, walaupun tak sakit, gementar itu sampai nak hari kita ujian swab itu ataupun dapat keputusannya memang yalah seksa juga tapi dah dapat dah - negatif. Syukur dan teruja sangat nak pergi," kongsi Cik Haryani, yang juga merupakan seorang peniaga dan personaliti hiburan tempatan.

Cik Haryani berangkat umrah bersama seorang teman baik. Ini satu lagi motivasinya menyertai pakej 10 hari ke Tanah Suci:

"Saya nak pergi sekarang takut nanti kalau ada apa-apa yang tukar atau saya tak tahulah adakah lebih sukar atau lebih mahal. Dan juga keduanya dah lama sangat dah tunggu untuk keluar daripada negara. Dan kalau saya bandingkan kalau di tempat-tempat lain dan pergi umrah, saya rasa saya tunaikan umrah dulu.

TERBANG KE MAKKAH, MADINAH DIUTAMAKAN

Rombongan umrah Singapura yang berangkat menaiki pesawat Scoot itu berkumpul di Terminal 1, Lapangan Terbang Changi sekitar jam 1.00 petang bagi penerbangan ke Jeddah yang berlepas sekitar 4.15 petang.

Ini juga keberangkatan pertama selepas kepulangan pasukan tinjauan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Muslim Singapura (AMTAS) ke Makkah dan Madinah pada 29 Oktober. Lawatan tersebut bertujuan meninjau prosedur melakukan umrah untuk jemaah Singapura.

Bagi jemaah Shahidah Travel & Tours rasa bersyukur cukup terpancar di wajah dan sanubari mereka setelah lama menantikan peluang keemasan itu. Antara mereka ialah Encik Alias Ahmad Ali yang berangkat umrah bersama keluarganya.

"Kami begitu terharu kerana dapat juga kita menunaikan ibadah umrah bagi tahun ini, kerana kami pun sudah lama tidak dapat pergi kerana COVID-19.

"Insya Allah bila di sana kami akan ikut peraturan apa sahaja Langkah Pengurusan Selamat (SMM) di sana untuk memastikan perjalanan kami, urusan umrah dan kesihatan kami terjamin," kongsi Encik Alias kepada BERITAmediacorp.

Seperti Cik Haryani, Encik Syed Abdul Rahman Rahmat juga memilih Tanah Suci sebagai destinasi pertama ke luar negeri sedang negara memasuki tahap endemik.

"Sekarang rombongan sudah buka untuk kita terbang lagi bagi pelancongan antarabangsa, lalu ke Makkah dan Madinah sudah buka. Itu pilihan pertama bagi kami. Tempat-tempat yang kita akan menziarah itu terutama sekali Masjid Nabawi dan Masjidil Haram, itu yang kita rindu nak terbang ini selepas dua tahun tutup itulah tempat tujuan kami yang kita ingin pergi," ujar Encik Syed Abdul Rahman.

AGENSI UMRAH SEMAKIN RANCAK TAWAR PAKEJ UMRAH

Secara keseluruhannya, landskap umrah di Singapura nampaknya semakin hangat. Banyak agensi sudah mengatur langkah menawarkan pelbagai pakej.
Bagi Noah Travel, ia sudahpun mengesahkan satu lagi rombongan yang dijangka berangkat pada 9 Disember nanti.

(Gambar: Facebook/ Noah Travel & Tours Singapore)

Shahidah Travel pula mempunyai empat lagi keberangkatan umrah antara 25 November dengan 30 Disember bagi sekitar 90 jemaah.

Tinjauan BERITAmediacorp ke atas agensi-agensi umrah tempatan mendapati bahawa hampir 10 agensi umrah tempatan sudahpun menawarkan pakej umrah yang secara purata berharga sekitar S$3,500 hingga S$4,600.

Ada yang merancang melakukan penerbangan menerusi Saudi Airlines seperti Mumtaz Holidays & Tours. Syarikat itu menyatakan ia sudahpun menjadualkan dua rombongan pihaknya sedang menantikan kepastian daripada syarikat Saudi Airlines kerana lebih terbiasa dengan syarikat tersebut.

Namun, tidak semua syarikat tergesa-gesa untuk menawarkan pakej. Agensi umrah seperti Halijah Travels misalnya mengambil sikap tunggu dan lihat dulu. Ia bagaimanapun sudahpun menghantar pegawai ke Makkah dan Madinah untuk membuat tinjauan.

Di pihaknya, Halijah Travel bercadang menghubungi para jemaah yang keberangkatan mereka terjejas tahun lalu dan memberi penerangan tentang prosedur-prosedur baru umrah serta risiko-risiko yang boleh dihadapi.

Yang pasti setiba jemaah kembali ke Singapura, mereka perlu menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) selama tujuh hari.

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan