Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 1,000 orang baca buku serentak di Taman di Pesisiran sempena Bulan Raikan Ilmu

Acara Membaca di Taman sempena Bulan Raikan Ilmu mendapat sambutan amat menggalakkan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Acara Membaca di Taman sempena Bulan Raikan Ilmu mendapat sambutan amat menggalakkan.

Seramai 1,500 orang menyertai acara membaca buku secara serentak di Taman Di Pesisiran pagi tadi (6 Okt) - melebihi sasaran yang ditetapkan sebanyak 1,000 orang.

Mereka membaca buku serentak selama 15 minit, bermula pada pukul 9.50 pagi hingga pukul 10.05 pagi.

Acara membaca itu merupakan yang paling besar pernah dianjurkan Yayasan MENDAKI sejauh ini.

Sambutan memberangsangkan yang diterima membuktikan bahawa menimba ilmu itu mudah dan indah; boleh dilakukan di mana-mana sahaja.

Keseronokan belajar di luar batasan bilik darjah dan rumah inilah yang ingin diraikan MENDAKI bersama-sama keluarga-keluarga penerima bantuannya dan juga masyarakat umum menerusi acara tersebut.

Seawal sekitar 8.00 pagi lagi para peserta sudah mula menghamparkan tikar berwarna kuning yang diterima dalam beg cenderahati MENDAKI, untuk mereka duduk bersantai sekeluarga sambil membaca.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

(Gambar: BERITAmediacorp)

Tepat pukul 9.50 pagi, semua aktiviti dihentikan bagi memberi laluan kepada semua peserta untuk membaca.

Ribuan buku percuma disediakan untuk mereka. Tinggal pilih dan baca. Malah, buku-buku itu boleh dipinjam dan dibawa pulang.

Cuaca panas terik pula tidak sedikit pun menghambat semangat anak-anak kecil di acara itu untuk mencapai beberapa buah buku untuk dibaca bersama-sama anggota keluarga dan rakan-rakan mereka.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

(Gambar: BERITAmediacorp)

Malah, suasana berlainan dari biasa itu membangkitkan rasa seronok untuk menimba ilmu, seperti anak-anak Encik Muhd Syahir Mohd Yunos.

"Aktiviti daripada Mendaki ini baguslah. Hari Ahad pagi, mereka bangun pagi, membaca di taman dengan angin yang segar! Mereka pun dapat lihatlah bersama kanak-kanak yang lain. Jadi mereka pun macam semangat kan! Jiran sebelah membaca, mereka pun nak membaca juga bersama-sama," beliau memberitahu BERITAmediacorp.

Seorang lagi peserta, Cik Edah Sadali yang datang bersama dua anak lelakinya mengakui turut merasa seronok melakukan kegiatan sedemikian. Ini juga pengalaman pertamanya.

"Pengalaman saya hari ini betul-betul menggembirakan. Belajar di mana-mana pun OK. Boleh membuat kita lebih berpengalaman. Untuk anak-anak ada lebih pengalaman lebih lanjut. Lebih seronok lagi," kata beliau.

Lebih daripada sekadar membaca, pelbagai kegiatan yang menyelitkan unsur pembelajaran turut diadakan dengan sokongan dan kerjasama daripada lebih 20 pertubuhan dan individu.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

(Gambar: BERITAmediacorp)

Ini termasuk Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), Warung Seni dan Majlis Pusat.

Kegiatan-kegiatan sampingan yang diadakan antara lain adalah sesi bercerita, melukis, fonik, belajar penggunaan tanam-tanaman dalam perubatan tradisional dan seni origami.

Timbalan Pengerusi Yayasan MENDAKI, Zaqy Mohamad, memuji kerjasama itu dan berharap masyarakat juga akan terus memberikan sokongan.

"Ini memang selaras dengan visi raikan ilmu di mana kita juga mahu anak kita dan juga keluarga bersama, belajar bersama dalam suasana yang mungkin seronok di luar. Dan pada masa yang sama juga kita mahu memupuk sikap pembelajaran dalam kehidupan seharian mereka," kata Encik Zaqy.

Pelbagai kegiatan lain bakal disajikan sepanjang Bulan Raikan Ilmu, bertujuan memupuk budaya ilmu dalam masyarakat Melayu agar dapat diteruskan sepanjang hayat.

Bulan Raikan Ilmu akan berlangsung sehingga awal November nanti.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan