Skip to main content

Singapura

Le Le akan dipisahkan dari ibunya selepas menginjak usia 2 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Anak beruang panda gergasi pertama Singapura, Le Le, sedang menunjukkan "tanda-tanda boleh berdikari" dan akan dipisahkan daripada ibunya Jia Jia tidak lama lagi.

Demikian menurut Mandai Wildlife Group pada Isnin (14 Ogos).

Pengumuman tersebut dibuat sempena sambutan ulang tahun kedua Le Le.

"Le Le sedang membesar dengan selesa di ruangnya sendiri dan pasukan jagaan beruang pandanya sedang bekerja rapat dengan para pakar China untuk mempersiapkannya bagi fasa kehidupannya yang seterusnya," menurut Mandai dalam satu kenyataan media.

Mandai Wildlife Group sebelum ini menyatakan bahawa beruang tersebut akan dihantar pulang ke China apabila ia boleh berdikari sepenuhnya pada usia sekitar dua tahun.

Kumpulan tersebut menambah pihaknya akan mengumumkan kemas kini mengenai hal demikian pada tarikh lain.
Gambar: CNA/Javier Lim
Gambar: CNA/Javier Lim
SIKAP BERDIKARI ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA "PROSES SEMULA JADI"

Le Le sudahpun mula makan, berehat dan bermain sendiri, jauh daripada Jia Jia.

Ini adalah sebahagian daripada "proses semula jadi" yang mencerminkan apa yang berlaku di hutan liar, apabila anak beruang panda menjadi berdikari dari sekitar usia 18 hingga 24 bulan, tambah Mandai.

"Mereka mula menunjukkan tanda-tanda selesa secara berseorangan, sementara ibu beruang panda tersebut juga mula mempamerkan perubahan dalam tingkah lakunya sehingga ia akhirnya akan terus menolak anak-anaknya."

"Memandangkan ia adalah penting untuk membantu anak beruang itu dan ibunya mengharungi proses pemisahan dengan selamat, pasukan jagaan haiwan tersebut telah mempersiapkan Le Le untuk memasuki sebuah jeruman peribadi yang baharu, yang terpisah daripada (jeruman milik ibunya)," nyata Mandai, sambil menambah bahawa ia akan memperkasa Le Le untuk hidup berjauhan daripada Jia Jia apabila tiba masanya.

Pemisahan sepenuhnya daripada Jia Jia dijangka berlaku dalam beberapa bulan akan datang dan proses tersebut akan dipantau secara rapi oleh pasukan jagaan beruang panda itu.

Sejurus selepas pemisahan tersebut berlaku, Jia Jia dan Le Le akan membahagikan masa mereka antara pameran mereka di 'Giant Panda Forest' di taman River Wonders di Mandai.

Orang ramai boleh menyaksikan Le Le dari 10.00 pagi hingga 2.00 petang manakala, Jia Jia dari 2.00 petang hingga 6.00 petang.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita