Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

LBKM sumbang S$300,000 tubuh dana endowmen untuk taja biasiswa pengkomputeran

Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) menghadiahkan dana endowmen sebanyak $300,000 kepada Sekolah Pengkomputeran Universiti Nasional Singapura (NUS) hari ini. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) menghadiahkan dana endowmen sebanyak $300,000 kepada Sekolah Pengkomputeran Universiti Nasional Singapura (NUS) hari ini.

Tujuannya adalah bagi menghasilkan lebih ramai lagi anak Melayu yang pakar dalam bidang pengkomputeran yang mempunyai permintaan tinggi dalam landskap ekonomi masa depan.

Antara tahun 2017 hingga 2020, sembilan Biasiswa Ekonomi Masa Depan dikeluarkan untuk mahasiswa Melayu/Islam di Sekolah Pengkomputeran Universiti Kebangsaan Singapura (NUS).

Biasiswa yang berjumlah $45,000 ini ditaja oleh LBKM dan sudahpun habis digunakan.

Namun, ia akan diteruskan tahun ini tetapi dalam bentuk dana endowmen baru dengan kerjasama NUS sekali lagi.

$300,000 DIBERI SEBAGAI ENDOWMEN BARU

Dalam satu upacara ringkas, LBKM hari ini menyerahkan $300,000 kepada Dekan Sekolah Pengkomputeran NUS bagi penubuhan dana itu.

"Ini disasarkan kepada para pelajar Melayu kita yang terbaik, dalam salah satu program mahasiswa, iaitu ijazah pengkomputeran dalam sains komputer, sistem maklumat, keselamatan maklumat, kejuruteraan komputer dan juga kursus analitik perniagaan," kata Profesor Mohan S Kankanhalli, Dekan Sekolah Pengkomputeran NUS.

"Kemahiran pengkomputeran sangat dikehendaki sekarang dan ekonomi serta masyarakat memerlukan banyak karyawan pengkomputeran yang berkualiti tinggi," tambah beliau.

Dengan biasiswa ini, Profesor Mohan berharap ia dapat menarik lebih ramai pelajar Melayu untuk menceburi bidang pengkomputeran.

Bagi para penerima biasiswa itu pula, beliau berharap agar mereka nanti akan menjadi peran contoh bukan sahaja untuk masyarakat Melayu, tetapi juga bagi seluruh masyarakat Singapura.

LBKM AMBIL LANGKAH BESAR

Yang pasti, biasiswa dari dana endowmen bernilai $5,000 setiap satu ini merupakan satu peningkatan berbanding biasiswa sebelum ini.

Ia dianggap sebagai satu langkah besar bagi LBKM yang bertujuan melahirkan lebih ramai siswazah Melayu dalam bidang pengkomputeran.

"Biasiswa ini akan dapat diberikan kepada tiga orang pelajar terbaik dari Sekolah Pengkomputeran NUS ini, setiap tahun dan secara tetap, sampai bila-bila. Ini merupakan cara bagaimana dana endowmen ini dilaksanakan," menurut Encik Suhaimi Salleh.

Dengan usaha sebegini, LBKM berharap agar lebih ramai anak Melayu/Islam akan lebih terdorong untuk menceburi dan meneroka bidang dan disiplin 'masa depan' seperti kepakaran komputer.

Ia juga berharap agar tiada pelajar yang berpotensi dalam bidang ini ketinggalan untuk mengikutinya.

"Saya ingin menggalakkan lebih ramai para pelajar kita untuk mengikuti kursus-kursus pengkomputeran ini jika berkemampuan," kata Encik Suhaimi.

Ini merupakan dana endowmen kedua yang ditubuhkan LBKM dalam tempoh kurang setahun.

Pada April tahun lalu, ia menyerahkan dana $200,000 beserta tokokan pemerintah untuk menubuhkan Anugerah Pengajian LBKM dengan Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS).  

Sumber : BERITA Mediacorp/nj

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa