Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

LBKM sumbang $100,000 tubuhkan Anugerah Pengajian LBKM untuk pelajar sambilan SUSS

Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) akan menjalin kerjasama dengan Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS) untuk mengeluarkan enam bantuan kewangan bernilai $1,000 setiap satu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) akan menjalin kerjasama dengan Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS) untuk mengeluarkan enam bantuan kewangan bernilai S$1,000 setiap satu.

Dipanggil Anugerah Pengajian LBKM dan akan dimulakan tahun depan, ia diberikan kepada enam orang pelajar sambilan dari golongan memerlukan di SUSS setiap tahun.

Menurut LBKM, anugerah itu mencerminkan usahanya menyokong pembelajaran sepanjang hayat.

ANUGERAH PENGAJIAN LBKM DIMETERAI TAHUN HADAPAN

Mendedahkan rancangan terbarunya itu sempena Majlis Penyerahan Dermasiswa Tahunannya ke-54 semalam (23 Nov), LBKM menyatakan ia akan menyumbang S$100,000 untuk menubuhkan Anugerah Pengajian LBKM itu.

Enam penerima yang terpilih adalah pelajar sambilan SUSS yang memerlukan bantuan kewangan tambahan bagi meneruskan pembelajaran masing-masing.

LBKM menyatakan ia berharap mendapat tokokan 100 peratus dari Pemerintah dan dengan itu, wang endowmen itu akan berjumlah S$200,000 kesemuanya.

Memorandum Persefahaman (MOU) antara LBKM dan SUSS mengenai kerjasama itu akan dimeterai pada awal tahun hadapan.

BELIA@LBKM BANTU RINGANKAN MASALAH KEWANGAN

Selain inisiatif itu, Presiden LBKM, Encik Suhaimi Salleh dalam ucapannya berkata bahawa ia sudahpun memulakan sebuah Dana Tokokan Sekolah, tahun ini.

Inisiatif itu diterajui oleh Belia@LBKM. Pengumpulan dana yang mencecah lebih daripada sasarannya sebanyak S$10,000 membolehkan LBKM membantu lebih daripada 50 pelajar yang disasarkan awalnya.

Kini, 72 pelajar dari keluarga kurang kemampuan diberi tokokan kad tambang Ezlink sehingga $27 seorang. Mereka itu akan menerima tokokan tambang pengangkutan selama setahun, sehingga bulan April tahun depan.

Menurut Encik Suhaimi: "Kita menyediakan ataupun memberikan bantuan kewangan bagi mereka dapat pergi ke sekolah kerana kita dapat lihat ramai para pelajar daripada golongan yang memerlukan ini tidak dapat ke sekolah kerana mungkin mereka tiada wang titipan untuk dibelanjakan bagi kewangan pengangkutan.

"Dan insya Allah pada masa-masa akan datang, bilangan pelajar yang kita bantu akan dapat ditambah lagi."

DERMASISWA HAMPIR $1 JUTA DIAGIHKAN

Dalam majlis yang sama, lagi 505 orang pelajar menjadi penerima dermasiswa LBKM. Mereka menerima antara S$1,200 hingga S$2,800 seorang.

Ini bermakna, untuk keseluruhan tahun ini, LBKM sudah mengeluarkan lebih 1,400 dermasiswa bernilai lebih S$1.5 juta.

Antara penerima dermasiswa itu semalam termasuklah mahasiswa SUSS dalam bidang Kejureteraan Bioperubatan, Cik Siti Nur Asiya Rosmadi, 26 tahun, yang melahirkan rasa bersyukur dibantu oleh LBKM.

"Ini akan membantu saya membayar yuran sekolah saya. Mendapat dermasiswa ini akan membantu kami untuk teruskan pendidikan kerana sejujurnya, yuran sekolah tidak begitu murah juga," luah beliau.

Cik Nur Shahira Binte Arman, 22 tahun yang sedang menjalani pengajian di Universiti La Trobe (PSB Academy), turut mengongsi perasaan yang sama.

"Terutama sekali saya amat bersyukur kerana dengan dermasiswa ini, saya dapat gunakan untuk yuran pelajaran saya. Saya juga harap saya dapat galakkan pelajar-pelajar di luar sana tak kisah berapa susah mereka sekarang, ada pertolongan daripada Lembaga Biasiswa macam ini," ujar beliau.

Para penerima dermasiswa lain termasuklah para pelajar yang sedang mengikuti pengajian peringkat Sarjana dalam bidang seperti kajian barah dan biologi marin di universiti-universiti Australia, serta dalam syariah Islam di Universiti Al-Azhar.

Selain dermasiswa, LBKM turut menganugerahkan 25 biasiswa tahun ini kepada mahasiswa dan pelajar pos siswazah.

Secara keseluruhannya, lebih daripada $1.7 juta sudahpun diagihkan oleh LBKM dalam bentuk biasiswa dan dermasiswa untuk tahun 2019 ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan