Skip to main content

Singapura

LBKM mahu perluas kerjasama dengan MMO, bantu lebih ramai pelajar

Anggaran Waktu Membaca:
LBKM mahu perluas kerjasama dengan MMO, bantu lebih ramai pelajar

(Gambar: Aqil Ezat)

Diterbitkan : 26 Sep 2026 07:26PM
SINGAPURA: Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) mahu bekerjasama dengan lebih banyak badan Melayu/Islam (MMO) bagi memperluaskan sokongan pendidikan kepada para pelajar.

Dengan pengalaman lebih enam dekad dalam mengendalikan pemberian biasiswa, LBKM terbuka untuk membantu pertubuhan lain yang mungkin kurang berpengalaman dalam bidang tersebut.

"Cabaran pendidikan sekarang ni semakin kompleks, semakin rumit. Jadi amat penting untuk kita bekerjasama dengan menggunakan kemahiran kita dengan menggunakan rangkaian kita dan kerjasama dengan para MMO yang lain, amatlah penting kerana ia akan menggembeleng tenaga kesemua pihak," jelas Presiden LBKM, Abdul Rohim Sarip.

"Dengan kemahiran ini, kita dapat membantu badan-badan Islam yang mungkin mereka kurang berpengalaman dalam bidang ini. Jadi itu satu perkara yang dapat memberikan manfaat kepada badan-badan Islam," tambahnya.
 
Related article image
(Gambar: Aqil Ezat)
Tahun ini menandakan 10 tahun sejak dua skim biasiswa utamanya, Biasiswa Ikonik dan Biasiswa Ekonomi Masa Hadapan diperkenalkan pada 2017.

Sepanjang tempoh itu, usaha LBKM turut berkembang dengan menjalin kerjasama dengan pertubuhan lain untuk menawarkan lebih banyak bentuk sokongan pendidikan.

Antaranya ialah kerjasama dengan Masjid Khalid bagi Biasiswa Alla’udin-Masjid Khalid dan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) bagi Biasiswa PPIS-LBKM.

"Matlamat kita adalah untuk meluaskan lagi jaringan, mendapatkan lebih lagi dana supaya kita dapat memberikan lebih banyak biasiswa kepada pelajar-pelajar yang layak," tambah Encik Rohim.

Perkara tersebut dikongsi beliau di Majlis Penyampaian Biasiswa LBKM ke-17 pada Jumaat (26 Sep).

Tahun ini, sebanyak S$317,500 diagihkan kepada 42 penuntut di institut pengajian tinggi.
Related article image
(Gambar: Facebook/NUS College)
MAMFIZAM ISMAIL HASRAT LANJUTKAN PENGAJIAN KE PERINGKAT PHD

Antara mereka ialah Muhamad Mamfizam Ismail yang bakal melanjutkan pengajian Sarjana Falsafah dalam bidang Sejarah Dunia di Universiti Cambridge.

Sejak usia muda, Muhamad Mamfizam Ismail sudah menunjukkan minat yang mendalam terhadap sejarah.

Mamfizam, 26 tahun banyak meluangkan masanya untuk membaca, sehingga diberi gelaran 'Profesor' oleh ibunya.

Selepas tamat pengajian di NUS, beliau berhasrat untuk melanjutkan pelajaran.

Beliau bersyukur hasratnya itu mendapat sokongan menerusi Biasiswa Allauddin Masjid Khalid bernilai $15,000.

Beliau merupakan penerima kedua Biasiswa Alla'uddin Masjid Khalid sejak ia diperkenalkan pada 2023.

Menurut Mamfizam, biasiswa tersebut membantu meringankan beban kewangan kerana kedua ibu bapanya sudah bersara.

"Ketika saya di NUS, ibu bapa saya berdepan pelbagai isu kesihatan tetapi mereka memilih untuk terus bekerja," kata Mamfizam.

Mamfizam akan mengkaji bagaimana kebangkitan Islam dan penguasa agama berkembang dari dunia Islam ke Malaysia pada 1970-an hingga 1980-an.

Selain dalam bidang akademik, Mamfizam juga aktif sebagai penyelidik sukarela bersama Ambin Ubin di mana beliau merakamkan pengalaman bekas penduduk supaya dapat dikongsikan kepada generasi muda.

Selepas ini, beliau berharap dapat meneruskan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah pula.

Antara Penerima Biasiswa LBKM 2026:

Biasiswa Berprestij LBKM 2026

Possiswazah – $15,000 seorang:
1. Faseehudeen — Sarjana Seni dalam Sains Kemasyarakatan (Laluan Antropologi),
Universiti Chicago
2. Muhammad Shamil Zainuddin — PhD dalam Sosiologi and Pengajian Sains, Universiti San Diego California
3. Amirah Shaik Ahmed Ally —MPhil/PhD Institute of Optalmologi, Universiti Kolej London
4. Radiah Maria Belak — Doktor dalam Amalan Klinik Psikoterapi Psikodinamik, Universiti Exeter

Mahasiswa -$10,000 seorang:
1. Hilal Iman Mohammad — Sarjana Muda Undang-undang, NUS
2. Muhammad Mikael Mohd Yatim — Sarjana Muda Undang-undang, Pentadbiran Perniagaan, NUS
3. Rabiatul Adawiyah Nor Idham — Sarjana Muda Perubatan, Pembedahan, Kolej King, London
4. Yusuf Zulkifli — Sarjana Muda Matematik, Ekonomi, NUS

Biasiswa PPIS-LBKM 2026
Possiswazah – $15,000

1. Nur Syahirah Ruhazat — PhD dalam Genetik (Bioinformatics), Institut Pasteur

Biasiswa Allauddin Masjid Khalid 2026
Possiswazah – $15,000
1. Muhamad Mamfizam Ismail — Sarjana Falsafah dan Sejarah Dunia, Universiti
Cambridge
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita