LBKM lancarkan geran bernilai $270,000; sokong pembangunan pelajar madrasah
Geran Bantuan Pelajar Madrasah adalah bagi menyokong usaha pendigitalan serta program pembangunan pelajar di kesemua enam madrasah sepenuh masa di Singapura. (Gambar: BERITA Mediacorp)
Geran Bantuan Pelajar Madrasah itu akan turut menyokong usaha pendigitalan serta program pembangunan pelajar di kesemua enam madrasah sepenuh masa di Singapura.
Di bawah geran tersebut, setiap madrasah akan menerima peruntukan sebanyak $15,000 setahun.
Geran itu dilancarkan semasa Majlis Anugerah Madrasah ke-10 LBKM pada Jumaat malam (3 Jul).
Semasa majlis itu, Presiden LBKM, Abdul Rohim Sarip, berkata bahawa pelancaran geran itu didorong oleh hasrat untuk membantu lebih ramai pelajar madrasah mencapai kecemerlangan menerusi sokongan yang lebih menyeluruh kepada pihak madrasah.
"Apabila kami melihat dari sudut yang lebih luas, kami sedar bahawa kecemerlangan itu patut dicapai oleh lebih ramai pelajar dan untuk ini kami perlukan sokongan persekitaran yang melahirkan mereka. Inilah yang mendorong kami untuk melancarkan Geran Bantuan Pelajar Madrasah LBKM," kata Encik Rohim.
GERAN TUMPU KEPADA PEMBANGUNAN PELAJAR, TRANSFORMASI DIGITAL
Menurut Encik Abdul Rohim, geran itu memberi tumpuan kepada dua aspek utama.
Pertama, geran itu akan menumpukan bantuan dari segi program pengayaan dan pembangunan pelajar.
Encik Abdul Rohim berkata bahawa ia membolehkan para pelajar berkembang dari sudut akademik serta dalam kehidupan mereka.
"Dunia ini jauh berbeza daripada 10 atau 20 tahun yang lalu. Pelajar kita akan masuk ke alam pekerjaan yang memerlukan mereka berfikir secara kritikal, mampu menyesuaikan diri dengan cepat dan peka terhadap kepelbagaian di sekeliling mereka, selari dengan kemahiran abad ke-21 yang digariskan Kementerian Pendidikan (MOE)," jelas Encik Abdul Rohim.
Beliau juga menjelaskan bahawa sudut kedua sokongan geran itu termasuk dari aspek peralatan dan transformasi digital.
"'Ini termasuk peranti pembelajaran, aplikasi pembelajaran dan latihan digital. Lebih-lebih lagi dengan adanya Kecerdasan Buatan (AI) yang semakin berkembang dengan begitu pesat, kami mahu pelajar madrasah bukan sekadar tahu menggunakan teknologi tapi benar benar memahami dan memanfaatkannya," katanya lagi.
Beliau berkata matlamat akhirnya adalah untuk melahirkan generasi pelajar madrasah yang bukan sahaja mempunyai pegangan agama yang kukuh.
Para pelajar madrasah juga diharapkan mampu menyumbang kepada masyarakat dengan cara yang relevan mengikut perkembangan semasa.
LBKM turut memaklumkan ia akan terus menyemak skim bantuan kewangan sedia ada mengikut keadaan semasa.
"Kami sentiasa akan menyemak bantuan kewangan, mungkin kami naikkan S$100 atau S$200 berdasarkan keadaan sekarang ini. Kami tahu kos sara hidup sedang meningkat dan kita mahu membantu sebaik mungkin, setakat yang kita mampu," ujar beliau.
TIGA PELAJAR MADRASAH TERIMA ANUGERAH KECEMERLANGAN
Semasa di majlis itu, LBKM turut mengiktiraf tiga pelajar madrasah cemerlang bagi kategori PSLE, GCE O dan prauniversiti.
Penerima anugerah bagi kategori PSLE menerima wang tunai bernilai S$500, manakala penerima anugerah kategori GCE peringkat 'O' pula menerima wang tunai bernilai S$1,000.
Penerima anugerah kategori prauniversiti menerima wang tunai bernilai S$1,500.
Penerima anugerah kategori GCE peringkat 'O', Laiqa Rasyiqah Muhammad Ridzwan, berkata pengiktirafan itu menjadi pembakar semangat untuk terus berusaha dan menyumbang kembali kepada masyarakat.
"Saya ingin lebih memberi balik kepada komuniti yang telah banyak memberi kepada saya seperti ibu bapa, guru-guru, para asatizah dan para penderma. Saya sangat bersyukur kepada semua yang telah menyokong saya selama ini," kata bekas pelajar Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah itu.
"Saya rasa ia boleh memberikan ketenangan kepada ibu bapa dan keluarga pelajar kerana kita dapat memberikan lebih fokus kepada kecemerlangan dan bukan kepada kerisauan atas kos tinggi bersekolah di madrasah," tambah pelajar 17 tahun itu.
Seorang lagi penerima anugerah, Aiman Hazeeq Rohaizad, pula berkata pengiktirafan itu amat bermakna buat dirinya.
"Saya rasa ia akan menjadi suatu pembakar semangat untuk saya teruskan pembelajaran, terutamanya dalam bidang agama dan juga bidang lain supaya saya dapat membantu masyarakat," ujar bekas pelajar Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah itu.
Tahun lalu, seramai 2,213 pelajar menerima bantuan menerusi pelbagai skim yang disediakan LBKM.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.