Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

LBKM lancarkan dana endowmen, sediakan bantuan lebih mampan buat pelajar

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sebuah dana endowmen baharu dilancarkan Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) untuk menyediakan sokongan yang lebih mampan bagi generasi pelajar pada masa hadapan.

Sebagai permulaan, LBKM akan menokok lagi 50 peratus dana yang disumbang kepada dana endowmen baharu itu.

Sebagai contoh, bagi sumbangan $100,000 yang diterima, LBKM akan menokok lagi $50,000.

Tokokan LBKM akan dilakukan dengan had sumbangan bernilai $1 juta.

Usaha itu diumumkan Presiden LBKM, Dr Syed Harun Alhabsyi dalam ucapannya di Majlis Makan Malam Amal sempena ulang tahun badan itu yang ke-60.

"Hasil tahunan daripada dana endowmen itu akan digunakan untuk biaya biasiswa dan dermasiswa bagi tahun-tahun mendatang," jelas Dr Syed Haron.

Beliau juga mengumumkan bahawa projek dana endowmen berkenaan akan diterajui oleh Encik Suhaimi Salleh.

Encik Suhaimi sendiri pernah menyandang jawatan Presiden LBKM antara 2012 hingga 2022.

Lebih banyak perincian tentang dana endowmen itu akan diumumkan LBKM dalam masa terdekat.
ULANG TAHUN KE-60 LBKM DIRAIKAN

Dr Syed Harun juga mengalu-alukan kehadiran lebih 750 penderma, rakan masyarakat dan anggota LBKM di majlis khas itu bagi meraikan ulang tahun LBKM yang ke-60.

"Untuk sebuah persatuan berdiri teguh dengan begitu banyak sokongan sepanjang 60 tahun, untuk ia berkembang maju dan tumbuh dengan yakin serta menyumbang bagi sebuah tujuan, ia disebabkan adanya misi bermakna yang berkaitan dengan kita semua dan menyatukan semua bersama," kata Dr Syed Harun.
 
Antara 750 hadirin di Majlis Makan Malam Amal LBKM. (Gambar: Nazirah Jamzuri)
Sejak ditubuhkan pada 1965, LBKM sudah mengagihkan lebih S$37 juta untuk menyokong 40,520 pelajar dalam pendidikan mereka.

Pelbagai dermasiswa dan biasiswa telah diagihkan LBKM termasuk untuk menyokong pelajar madrasah dan penuntut sekolah aliran utama di pelbagai peringkat.

Dr Syed Harun turut melahirkan penghargaannya bagi para penderma termasuk Yayasan Salleh Marican yang menaja majlis makan malam amal itu.

Yayasan Salleh Marican telah menyumbang $60,000 kepada LBKM.

REKOD BAHARU SG - PERSEMBAHAN ANGKLUNG PALING RAMAI PEMAIN

Di majlis itu juga, sebuah rekod baharu Singapura berjaya dicatatkan dengan paling ramai orang memainkan angklung dalam satu-satu masa.

Kesemua 750 hadirin menyertai para pemain angklung daripada Artusik dalam sebuah persembahan angklung.

Menurut Dr Syed Harun, proses pembuatan alat muzik itu ada persamaan dengan usaha yang dilakukan LBKM.

"Dalam diri setiap penerima bantuan LBKM, kami cuba untuk hasilkan sebuah angklung yang utuh dan berdaya tahan. Angklung yang bukan sahaja menghasilkan bunyi yang indah tapi juga lambang akar, tradisi dan warisannya. Lebih penting lagi, ia boleh harmoni dengan orang lain untuk memenuhi keperluan negara, masyarakat dan keluarga," kara Dr Syed Harun.

Para hadirin juga dapat membawa pulang angklung itu sebagai cenderamata.
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan