LBKM beri jumlah rekod biasiswa pengajian tinggi, terima permohonan tertinggi
SINGAPURA: Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) menganugerahkan jumlah rekod 43 biasiswa peringkat pengajian tinggi menengah tahun ini.
Bilangan pemohon sebanyak 100 juga yang tertinggi pernah diterimanya.
Biasiswa tersebut disampaikan di Majlis Anugerah Biasiswa ke-16 yang diadakan pada Jumaat malam (19 Sep).
JUMLAH TERTINGGI 16 BIASISWA KECEMERLANGAN DIBERI LBKM DALAM MAJLIS KE-16
Di majlis yang berlangsung di Hotel Furama City Centre, sebanyak $285,000 disalurkan kepada 43 penuntut.
Daripada jumlah tersebut, 16 Biasiswa Kecemerlangan diberikan - jumlah tertinggi sejauh ini.
Biasiswa Kecemerlangan yang diberikan meliputi penerima peringkat ijazah sarjana muda dan pos-siswazah.
Dalam ucapannya dalam bahasa Inggeris, tetamu kehormat, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam dan Menteri Negara Kanan, Kementerian Ehwal Dalam Negeri; meluahkan rasa berbesar hati bahawa para pemegang biasiswa melengkapi diri mereka dengan ilmu dan kemahiran yang relevan mengikut keperluan negara.
"Daripada bidang sains sosial dan kemanusiaan hingga undang-undang dan dasar awam, kesihatan dan perubatan; serta bidang STEM termasuk kejuruteraan, pengkomputeran gunaan, keselamatan siber dan kejuruteraan bioperubatan. Saya berasa gembira melihat para sarjana kita membekalkan diri dengan ilmu dan kemahiran yang relevan dengan keperluan Singapura pada masa kini dan masa hadapan," ujar Dr Faishal.
Mengulas perkembangan ini, Pemangku Presiden LBKM, Djuanda Kamid berkata, "Jumlah tertinggi yang memohon biasiswa LBKM ini sebenarnya mencerminkan suatu perkembangan yang agak positif di dalam masyarakat kita, di mana lebih ramai orang yang dapat menempatkan diri di universiti-universiti kita."
"Dan untuk menangani hal ini, kita harus meneliti setiap pemohon itu dan kita mempunyai kriteria yang lebih ketat lagi di mana kita melihat pencapaian akademik mereka dan juga ko-kurikulum dan aktiviti-aktiviti di luar dari kampus. Semua ini menjadi kayu ukur untuk kita memilih para penerima biasiswa kita," jelasnya.
Proses pemilihan yang diperketat dengan piawaian lebih tinggi oleh panel pemilihan dalam semua peringkat ini juga bermakna hanya satu Biasiswa Pos-siswazah Berprestij diberikan.
DARI BIASISWA IKONIK (ZUBIR SAID) KEPADA BIASISWA POS-SISWAZAH BERPRESTIJ LBKM
"Saya merasakan bahawa biasiswa ini sangat-sangat mendorong saya untuk mengejar impian untuk lebih mendalami warisan budaya kita pada peringkat yang sangat tinggi dan secara jujurnya, tanpa sokongan LBKM, saya mungkin tidak akan dapat melanjutkan pengajian kedoktoran ini," kongsi Cik Muslihah, Penerima Biasiswa Pos-Siswazah Berprestij LBKM, melalui wawancara Zoom dari London dengan wartawan Roslinda Rahmat.
WARISAN BUDAYA DALAM ERA DIGITAL - JUDUL TESIS PHD MUSLIHAH MUJTABA
Kerja penyelidikan beliau mencerminkan usaha nasional seperti Pas Budaya dan inisiatif SG60 yang diraikan melalui kekayaan warisan budaya Singapura. Seniman, pendidik dan pemimpin masyarakat ini telah lebih dua dekad memperjuangkan pemeliharaan, pendidikan dan penjanaan semula warisan budaya Melayu, dengan menekankan bahawa budaya harus dihayati, bukan hanya disimpan dalam arkib.
Tesis PhD Cik Muslihah berjudul 'Warisan budaya dalam era digital, pemeliharaan dan penemuan semula tradisi budaya Melayu Singapura'.
"Saya ingin melihat bagaimana masyarakat Melayu Singapura dan sedunia, terutama generasi muda dapat berinteraksi dengan warisan budaya melalui platform digital. Tesis saya menggabungkan pemerhatian peserta tulen, di mana saya ingin menganalisa apakah keperluan sebenar masyarakat kita sebelum memutuskan teknologi apa yang saya gunakan untuk memelihara sesuatu bentuk kesenian," jelas Cik Muslihah.
Antara lain, Cik Muslihah menyuarakan ingin mengambil pendekatan bekerjasama secara langsung dengan kumpulan-kumpulan seni Melayu di Singapura demi menggunakan penyelidikan ini sebagai satu dokumentasi.
PERTAMA KALI SEJAK 2023, BIASISWA PPIS-LBKM DIBERI KEPADA 2 PENERIMA
Dalam usaha meningkatkan pencapaian pendidikan masyarakat, kerjasama LBKM dengan badan-badan Melayu/Islam kali ini menyaksikan buat julung-julung kalinya, Biasiswa PPIS-LBKM dianugerahkan kepada dua penerima, yakni Cik Siti Nurfatin Jumari yang sedang memburu Sarjana dalam Rekabentuk Grafik Media di Universiti Seni London, dan Cik Shajiah Begum yang sedang mendalami pendidikan peringkat Sarjana dalam Pembangunan Antarabangsa dan Kecemasan Kemanusiaan di Sekolah Ekonomi dan Sains Politik London (LSE).
Masing-masing menerima biasiswa sebanyak $15,000.
Ditubuhkan pada tahun 2023, Biasiswa pos-siswazah ini diwujudkan untuk membina dan memperkasa generasi pemimpin wanita akan datang, khususnya dalam bidang yang penting untuk pertumbuhan sosio-ekonomi Singapura.
"Tahun ini kami memberi anugerah ini kepada dua wanita sebab mereka bukan sahaja komited dalam akademik, tetapi mereka juga banyak hendak membantu masyarakat. Anugerah ini mencerminkan komitmen LBKM dan PPIS untuk membantu wanita dan ini juga mencerminkan pembantuan kami untuk pembangunan wanita di Singapura," ujar Profesor Madya Razwana Begum Abdul Rahim yang merupakan Presiden PPIS dan Anggota Majlis LBKM.
Secara keseluruhan, biasiswa yang diberikan bernilai $285,000 - jumlah yang berjaya dikumpulkan berkat sumbangan penaja dan orang ramai.
Pemangku Presiden LBKM menekankan pentingnya sokongan masyarakat untuk merealisasikan usaha berterusan ini, antaranya menerusi dana endowmen.
"Dana endowmen penting, kerana ini akan membuat pendanaan yang berdaya mampan untuk LBKM, untuk dapat kita membantu para pelajar pada masa hadapan. Dan kita juga akan terus menggalakkan masyarakat untuk terus menderma, mencari penaja-penaja untuk terus menderma, supaya kita dapat memperluaskan lagi dan dapat memberi lebih banyak biasiswa kepada yang berkelayakan," rayu Encik Djuanda.
Kepada 43 penerima biasiswa malam semalam, Encik Djuanda serta tetamu kehormat Dr Faishal mengingatkan peranan para penerima biasiswa sebagai duta harapan, agen perubahan dan pembina masa depan yang lebih baik.
"Saya memang sangat gemar dan sangat berminat untuk menjadi seorang pendidik seumur hidup saya. Pada pendapat saya, menjadi seorang pendidik itu tidak semestinya memegang satu jawatan misalnya sebagai pensyarah atau guru, tetapi sentiasa aktif mencari peluang untuk berkhidmat sebagai sukarelawan dan sebagainya. Jadi itu sentiasa saya cuba untuk terapkan dalam diri saya supaya saya bukan sahaja mencari kejayaan dalam segi jawatan atau saya ingin mendapatkan pekerjaan tertentu tetapi lebih penting untuk saya terus turun padang untuk mengetahui sendiri apa yang sebenarnya berlaku dalam komuniti dan bagaimana saya boleh menyumbang. Dan pendekatan saya selalunya dari lapangan ke atas atau 'ground up'. Dan ini bermaksud lebih sensitif kepada keperluan masyarakat kita," iltizam Cik Muslihah sebagai penerima anugerah tertinggi LBKM 2025.
Sejak pelancaran Biasiswa LBKM pada tahun 2010, sebanyak 374 biasiswa telah diberikan kepada pelajar cemerlang yang menunjukkan kecemerlangan akademik, kepimpinan, dan komitmen dalam berbakti kepada masyarakat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.