Skip to main content

Singapura

LBKM anugerahkan 40 biasiswa tahun ini termasuk penerima sulung Biasiswa Alla’udin-Masjid Khalid

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Nilai biasiswa yang dikeluarkan Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) tahun ini meningkat sekitar 12 peratus berbanding tahun lalu.

Sejumlah $302,500 diberikan kepada 40 penuntut universiti kali ini.

Biasiswa itu disampaikan Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, Zhulkarnain Abdul Rahim di majlis penyampaian Anugerah Biasiswa LBKM yang ke-15, pada Jumaat malam (14 Sep).

Sejak ia dimulakan pada 2010, LBKM sudah mengagihkan sebanyak 331 biasiswa kepada penuntut cemerlang yang mempamerkan kemahiran kepimpinan dan ada dedikasi untuk menyumbang secara positif kepada masyarakat.

Acara itu juga bagi meraikan ulang tahun ke-15 komitmen LBKM untuk menggalak kecemerlangan pendidikan dalam masyarakat.

Menurut Presiden LBKM, Dr Syed Harun Alhabsyi berkongsi bahawa bukan sahaja jumlah permohonan yang diterima semakin meningkat, prestasi mahupun bakat mereka juga lebih cemerlang.

Dalam pada itu, beliau menekankan pentingnya para penerima biasiswa LBKM untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

"Kami berharap bagi penerima biasiswa berprestij LBKM apabila tamat pengajian, akan menyumbang kembali kepada masyarakat. Mereka juga merupakan pelajar-pelajar yang berpotensi untuk memberi sumbangan kepada masyarakat bukan sahaja dari segi pelajaran dan kemahiran mereka tetapi juga potensi mereka sebagai ketua-ketua masyarakat pada masa hadapan dan ia memberi dorongan kepada masyarakat bahawa antara pelajar-pelajar dari masyarakat kita, terdapat ramai antara mereka yang cemerlang dan berpotensi tinggi," ujar Dr Syed lagi.

MUMTAZ ABDUL HALIM DAPAT BIASISWA ALLA'UDDIN-MASJID KHALID

Antara penerima tahun ini termasuk penerima sulung biasiswa Alla’udin-Masjid Khalid iaitu Cik Mumtaz Abdul Halim, 25 tahun.

Biasiswa baharu itu diumumkan pada April 2023.

--

Ia merupakan hasil kerjasama antara Masjid Khalid dengan LBKM bagi para pelajar possiswazah yang melanjutkan pengajian dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan usaha memupuk keyakinan dan keselamatan dalam masyarakat yang rencam.

Kata Cik Mumtaz, beliau amat bersyukur dan berasa teruja kerana menjadi penerima pertama biasiswa tersebut.

Beliau sedang melanjutkan pengajian di peringkat possiswazah dalam bidang Undang-Undang dan Teknologi di Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Cik Mumtaz, yang memiliki Sarjana Muda dalam bidang Undang-Undang dan Undang-Undang Syariah daripada Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia bercita-cita untuk menjadi seorang peguam yang mempunyai pengkhususan dalam bidang Undang-Undang, Teknologi dan Syariah.

Kata Cik Mumtaz: "Saya telah memilih program Undang-Undang dan Teknologi ini kerana ia adalah satu program yang baharu yang menggabungkan pelajaran yang mendalam tentang undang-undang secara tradisional dan juga pengetahuan yang mendalam di dalam bidang teknologi sendiri.

"Apa yang unik tentang program ini adalah pendekatan program itu sendiri di mana penggabungan di antara undang-undang dan teknologi dilihat di dalam struktur kurikulum kami di mana saya bukan sahaja mempelajari tentang undang undang bagi teknologi yang baharu tetapi aspek teknologinya juga seperti 'blockchain' dan juga Kecerdasan Buatan (AI). Tambahan pula, program ini amatlah fokus tentang isu-isu yang baru seperti privasi data dan juga etika."

Cik Mumtaz dijangka akan menamatkan pengajiannya di SMU pada tahun depan.

MASJID KHALID TAWAR BIASISWA S$15,000

Turut bangga dengan pencapaian Cik Mumtaz ialah Naib Pengerusi Masjid Khalid, Dr Mohamed Ariffin Mohamed Kawaja Kamaludin.

Beliau berkata bahawa tujuan Biasiswa Alla’udin-Masjid Khalid adalah untuk memberi penghargaan dan memperingati sumbangan pengerusi masjid tersebut, Encik Alla’udin Mohamed.

Encik Alla'uddin sudah berkhidmat sebagai pengerusi Masjid Khalid selama tiga dekad.

Dalam pada itu, beliau menarik perhatian bahawa Encik Alla'uddin seorang yang amat mementingkan keharmonian dan kepelbagaian kaum.

Lebih menarik lagi, Dr Arrifin mendedahkan bahawa Encik Alla'uddin berkebolehan bertutur dalam lapan jenis bahasa dan dialek termasuk bahasa Cina dan dialek Hokkien dan Teochew.

Lantaran itu, katanya pihak Masjid Khalid memutuskan untuk menawarkan biasiswa yang memperjuangkan isu-isu berkenaan usaha memupuk keyakinan dalam masyarakat yang pelbagai.

"Daripada segi akademik, kita tidak lihat banyak orang yang betul-betul mengkaji dalam bahagian ini. Oleh itu, kita bincang dengan para pengkaji dan kita disyorkan untuk bukan sahaja meneliti keharmonian kaum tetapi juga dalam masyarakat yang pelbagai, pembangunan negara dan mewujudkan keyakinan. Ini kerana antara berbilang kaum, kita ingin tingkatkan keyakinan antara satu sama lain," tambahnya.

Biasiswa Alla’udin-Masjid Khalid itu bernilai S$15,000.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita