Skip to main content

Singapura

LBKM agih jumlah rekod dermasiswa bernilai $1.37 juta kepada 656 pelajar

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) mengagihkan dermasiswa bernilai S$1.37 juta kepada 656 pelajar tahun ini iaitu jumlah penerima dan nilai tertinggi dalam tempoh lima tahun.

Pengagihan tersebut diadakan di majlis penyampaian dermasiswa tahunan LBKM pada Sabtu (15 Nov) di Pusat Konvensyen Suntec City.

Tahun ini, peningkatan jumlah penerima mencerminkan peningkatan berterusan dalam permohonan, terutamanya daripada pelajar institusi pengajian tinggi tempatan.

Pemangku Presiden LBKM, Encik Djuanda Kamid berkata: "Ini menunjukkan komitmen LBKM yang berterusan. Ia juga menggambarkan bahawa landskap ekonomi sekarang ini adalah sesuatu yang harus diambil kira untuk memberi bantuan kepada para pelajar, kos sara hidup, pembelajaran telah meningkat. Oleh itu, lebih banyak yang diperlukan untuk kita hulurkan bantuan kepada keluarga yang mengalami masalah kos ini."

Tahun lalu, lebih S$1 juta dalam bentuk dermasiswa diberikan kepada 479 pelajar tahun lalu dan lebih S$1.1 juta kepada 530 pelajar pada 2023.

Tujuh daripada kalangan penerima tahun ini merupakan penerima sulung bagi Program Dermasiswa Maybank Islamic Berhad (MIB).

Program tajaan itu merupakan kerjasama antara LBKM dengan syarikat perbankan Maybank Singapore.

Program itu menyokong para siswazah dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Ia juga menyasarkan para penuntut yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang kewangan, tetapi juga aktif menyumbang kepada masyarakat melalui bimbingan dan impak sosial.

Kerjasama antara kedua-dua badan itu mencerminkan komitmen bersama untuk memperkasakan pendidikan sebagai pemangkin kemajuan sosial, di samping membuka laluan jangka panjang bagi pembangunan belia di Singapura.

Encik Djuanda berkata: "Kesan yang kita harapkan adalah untuk mencetuskan lebih ramai para pelajar yang menjurus kepada bidang kewangan dan perbankan dan lebih ramai karyawan yang akan ada di dalam bidang tersebut untuk memacu dan meningkatkan lagi prestasi komuniti Melayu/Islam dalam bidang kewangan dan perbankan."

HAKIM RAZIFF INGIN TERUSKAN LEGASI IBU DALAM BIDANG KEWANGAN, TERIMA DERMASISWA PERTAMA LBKM-MAYBANK

Muhammad Hakim Mohd Raziff, 22 tahun, merupakan antara penerima pertama dermasiswa MIB.
Related article image
Muhammad Hakim Mohd Raziff (Gambar: Nurhelmy Hakim)
Bagi pelajar tahun pertama Perakaunan di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) itu, minat terhadap angka bukan sekadar satu bidang pengajian — ia adalah warisan daripada arwah ibunya.

Hakim mula meminati perakaunan sejak di sekolah menengah, hasil tunjuk ajar ibunya yang juga seorang akauntan.

Beliau berkata: “Arwah ibu saya dulu yang ajar saya prinsip-prinsip perakaunan semasa sekolah menengah. Beliau ajar dengan penuh semangat sampai saya pun jatuh cinta dengan subjek itu. Saya ingin berterima kasih kepadanya atas segalanya — kerana menyokong perjalanan ini sejak kecil. InshaAllah, saya akan terus berusaha dan tamat dengan keputusan yang baik untuk membanggakan beliau."

"Bagi saya, ya, ia merupakan satu penghormatan yang besar kerana bukan sahaja saya dapat mempelajari apa yang saya minati, tetapi saya juga dapat mengingati apa yang ibu saya lakukan sebelum saya dilahirkan. Beliau pernah menyebut bahawa pekerjaan itu ada cabarannya, tetapi sudah tentu itu perkara biasa bagi setiap pekerjaan di Singapura. Jadi, saya akan lakukan yang terbaik. Jika saya mendapat pekerjaan sebagai akauntan, itu benar-benar rezeki saya, inshaAllah," tambah Hakim lagi.

Sebagai penerima dermasiswa MIB, Hakim menerima geran sebanyak S$10,000.

Bagi Hakim, dermasiswa MIB bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi juga sumber kekuatan selepas kehilangan insan tersayang.

“Dari segi kewangan juga, saya sangat bersyukur kerana kini saya dapat benar-benar menumpukan perhatian kepada perjalanan pendidikan saya dan bukan keadaan kewangan saya. Ia juga membolehkan saya membantu keluarga saya bila perlu dan meluangkan lebih banyak masa bersama mereka dalam tempoh yang sukar ini."

"Bukan mudah untuk kehilangan insan tersayang, terutamanya seorang ibu. Jadi ini adalah tempoh yang sensitif dan saya akan terus melakukan yang terbaik untuk menyokong mereka,” jelas Hakim.

Mengikut nasihat arwah ibunya, Hakim berpegang pada prinsip memberi semula kepada masyarakat.

“Apa sahaja yang kita peroleh wajar diberikan kepada mereka yang kurang bernasib baik daripada kita. Seperti yang ibu saya selalu katakan, setiap kali kita mendapat sesuatu, cubalah beri sesuatu kembali sebagai balasan. Perbuatan mudah seperti bersedekah pun sebenarnya boleh meringankan beban orang lain,” katanya.

PELAJAR PERUBATAN TERIMA BIASISWA LBKM, KONGSI INSPIRASI DAN CABARAN KEJAR ILMU DI AUSTRALIA

Muhammad Naeem Chew Jia Sheng, 32 tahun, pula menerima Dermasiswa Khas LBKM tahun ini.
Related article image
Muhammad Naeem Chew Jia Sheng (Gambar: Muhammad Naeem Chew Jia Sheng)
Penuntut tahun ketiga di Universiti Queensland ini sedang memburu ijazah Sarjana doktor perubatan.

Menurut Naeem, perjalanan dalam mengejar impian menjadi seorang doktor bermula agak lewat, ketika beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Biologi di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dari tahun 2016 hingga 2019.

"Saya benar-benar suka berinteraksi dengan orang ramai dan ingin cara yang lebih langsung untuk membawa perubahan dalam kehidupan mereka. Jadi, pada ketika itulah saya memutuskan untuk menceburi bidang perubatan."

"Saya juga merasakan bahawa memandangkan sebahagian besar hidup saya akan dihabiskan untuk bekerja, saya mahu masa itu memberi manfaat kepada orang lain kerana itu memberikan saya rasa tujuan dan makna yang mendalam," jelas Naeem.

Bagi Naeem, bantuan kewangan LBKM telah memberi impak besar terhadap kehidupannya sebagai pelajar perubatan rantauan di Australia.

Naeem berkata: “Saya tak dapat jelaskan dengan kata-kata betapa besarnya kesan tajaan ini. Ia bukan sahaja mengubah kemampuan saya untuk mengikuti bengkel dan latihan tambahan, tetapi juga membantu dari segi kesejahteraan mental. Jadi, bantuan kewangan itu sebenarnya memberikan perbezaan yang sangat besar dalam latihan dan pembelajaran harian saya. Ia membolehkan saya menghadiri sesi pengajaran dan bengkel kemahiran klinikal tambahan,”

“Walaupun yuran bagi setiap sesi tidak terlalu mahal, tetapi kerana jumlahnya banyak, kosnya tetap meningkat dari masa ke masa. Sebelum menerima bantuan, saya hanya mampu melihat bengkel-bengkel ini dan berkata kepada diri sendiri bahawa saya perlu bertahan buat masa ini dan akan cuba mengejar semula apabila saya mula bekerja dan mempunyai gaji nanti,” ujarnya.

Naeem mendedahkan bahawa yuran sekolah perubatan di Universiti Queensland untuk tempoh empat tahun boleh mencecah sehingga AUS$380,000.

“Setiap kali tiba masa bayar yuran, saya tertanya-tanya sama ada masih mampu saya teruskan pengajian," kata Naeem.

Lantaran itu juga, beliau berasa amat syukur dengan geran LBKM yang dapat mengurangkan sedikit sebanyak kerisauan kewangan Naeem.

Naeem akan kembali ke Singapura dan berkhidmat sebagai doktor selepas pengajiannya tamat di Australia tahun depan.

"Saya berharap dapat kembali bukan sahaja sebagai seorang doktor, tetapi juga sebagai individu yang mampu memberikan nasihat dan dorongan kepada mereka yang mungkin berada dalam situasi seperti yang pernah saya alami, melalui pengalaman saya sendiri — dan menggalakkan mereka untuk terus mengejar matlamat mereka jika mereka benar-benar mempercayainya, tanpa mengira sama ada dalam bidang perubatan atau bidang lain," ujar Naeem.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita