Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

LBKM agih 35,000 dermasiswa berjumlah S$31 juta sejak 1966

Sebanyak 35,000 dermasiswa Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) berjumlah S$31 juta diagihkan kepada para pelajar Melayu/Islam sejak LBKM ditubuhkan pada 1966.

Anggaran Waktu Membaca:
LBKM agih 35,000 dermasiswa berjumlah S$31 juta sejak 1966

Logo Lembaga Biasiswa Kenangan Maulid. (Gambar: LBKM/Facebook)

SINGAPURA: Sebanyak 35,000 dermasiswa Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) berjumlah S$31 juta diagihkan kepada para pelajar Melayu/Islam sejak LBKM ditubuhkan pada 1966.

Pengagihan dermasiswa itu merupakan strategi LBKM yang menyeluruh untuk menyokong para pelajar dari peringkat rendah sehingga ke peringkat pos-siswazah agar dapat mencapai tahap pelajaran setinggi mungkin, tanpa hambatan kewangan.

Demikian menurut Presiden LBKM Encik Suhaimi Salleh kepada BERITAmediacorp baru-baru ini.

Sehubungan itu, LBKM juga menyambut baik sumbangan dana S$250,000 kepada MENDAKI baru-baru ini yang dapat memanfaatkan lebih 180 pelajar.

Sumbangan tersebut, kata Encik Suhaimi, menunjukkan keprihatinan masyarakat kepada peri pentingnya pelajaran dalam mengorak kemajuan masyarakat secara am.

"Menerusi sumbangan sedemikian, ia akan membolehkan lebih ramai pelajar khususnya dari aliran Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan Politeknik, untuk mengejar cita-cita masing-masing serta mengurangkan beban yuran dan keperluan pelajaran yang lain," katanya.

SOKONGAN & PENGIKTIRAFAN BAGI PELAJAR ITE

Perkembangan itu juga seiringan dengan usaha-usaha yang dijalankan oleh LBKM sejak ia ditubuhkan.

Sejak tahun 1995, LBKM menghulurkan dana sebanyak S$260,000 kepada para pelajar ITE menerusi kolej mereka di bawah naungan Skim Bantuan Khas Pelajar ITE.

Selain itu, LBKM juga memberi sokongan dan pengiktirafan kepada para pelajar ITE yang cemerlang menerusi Anugerah Pelajaran kepada lima pelajar Melayu/Islam yang terbaik dari setiap jurusan ITE setiap tahun.

Tahun lalu, sebanyak 120 anugerah pelajaran berjumlah S$38,400 keseluruhan diagihkan.

Walaupun dengan sokongan sedia ada, LBKM berpendapat lebih banyak lagi dapat dilakukan untuk membantu para pelajar Melayu/Islam.

"Kami bersedia berganding bahu dengan M³ dan badan-badan Melayu-Islam yang lain untuk merealisasikan impian masyarakat kita untuk terus maju dan cemerlang, lebih-lebih lagi dalam bidang pelajaran di mana LBKM mempunyai pengalaman lebih 55 tahun," kata Encik Suhaimi.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan