Lazada alami kebocoran data; maklumat peribadi 1.1 juta akaun RedMart dijual online
Maklumat peribadi dari 1.1 juta akaun RedMart dicuri dari wadah e-dagang Lazada dan dijual online dalam satu kes kebocoran data.
SINGAPURA: Maklumat peribadi dari 1.1 juta akaun RedMart dicuri dari wadah e-dagang Lazada dan dijual online dalam satu kes kebocoran data.
Seorang jurucakap Lazada mengesahkan hal itu kepada Mediacorp pada Jumaat (30 Okt).
Mediacorp sebelum ini menemui satu forum online yang didakwa menjual data peribadi dari pelbagai laman e-dagang dari merata dunia, termasuk Lazada.
Laman itu mendakwa mempunyai maklumat seperti nama, nombor telefon dan sebahagian nombor kad kredit dari sekitar 1.1 juta pengguna.
"Pasukan keselamatan siber kami menemui seorang individu yang mendakwa memiliki pangkalan data pelanggan RedMart yang diambil dari sistem RedMart yang tidak lagi digunakan oleh syarikat ini," kata seorang jurucakap Lazada dalam satu kenyataan yang merujuk kepada wadah online pasar raya yang diperolehi pada 2016.
Lazada menambah bahawa maklumat yang dicuri kali terakhir dikemas kini pada Mac 2019, dan pangkalan data terjejas yang mengandungi maklumat RedMart sahaja tidak mempunyai kaitan dengan pangkalan data Lazada.
"Pangkalan data khusus kepada RedMart ini sudah lebih 18 bulan lamanya dan sudah lapuk. Ia tidak terkait dengan mana-mana pangkalan data Lazada. Maklumat pengguna yang diakses secara haram termasuk nama, nombor telefon, e-mel dan alamat penghantaran, kata laluan yang disulitkan serta sebahagian nombor kad kredit pengguna. Kami sudah mengambil tindakan segera dan menghalang akses tanpa izin kepada pangkalan data tersebut."
Lazada sedang menyiasat pencabulan data itu dan sudah memaklumkan kepada Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC) berhubung kejadian itu.
"Kami sudah mengambil tindakan segera untuk menghalang akses tanpa izin kepada pangkalan data itu," kata jurucakap Lazada.
Seorang jurucakap bagi PDPC berkata bahawa ia maklum akan kejadian itu dan sedang menjalankan siasatan.
Lazada menyatakan ia sedang dalam proses menghubungi semua pelanggan yang terjejas dan mengingatkan mereka supaya menukar maklumat log masuk sebagai langkah berjaga-jaga.
Ia menambah: "Melindungi data dan privasi pelanggan kami adalah satu keutamaan, dan kami berusaha dengan pantas untuk menghuraikannya."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.