Skip to main content

Singapura

LawSoc lancar prosiding disiplin terhadap Pritam Singh

Persatuan Guaman Singapura (LawSoc) telah memulakan prosiding disiplin terhadap Setiausaha Parti Pekerja (WP) Pritam Singh.
Anggaran Waktu Membaca:
LawSoc lancar prosiding disiplin terhadap Pritam Singh
Pritam Singh meninggalkan Mahkamah Agung selepas rayuannya ditolak pada Disember 2025. (Gambar fail: REUTERS/Suhaimi Abdullah)
Diterbitkan : 13 Mar 2026 08:22AM
SINGAPURA: Persatuan Guaman Singapura (LawSoc) telah memulakan prosiding disiplin terhadap Setiausaha Parti Pekerja (WP) Pritam Singh.

Menurut senarai perbicaraan awam, satu persidangan pengurusan kes antara LawSoc dan Encik Pritam dijadual berlangsung pada tengah hari Khamis (12 Mac) di sebuah bilik Mahkamah Agung.

Senarai tersebut menyatakan bahawa sifat kes itu ialah: Lain-lain (prosiding disiplin bagi peguam bela dan peguam cara Mahkamah Agung Republik Singapura).

LawSoc diwakili oleh sekumpulan peguam dari Drew & Napier, termasuk ketua pegawai eksekutifnya, Peguam Kanan Cavinder Bull.

Senarai itu menunjukkan bahawa Encik Pritam akan membela dirinya sendiri tanpa mendapatkan khidmat peguam.

Persidangan pengurusan kes akan dijalankan tanpa kehadiran orang awam dan media pada peringkat awal prosiding, dengan tujuan menguruskan prosiding secara lebih cekap, seperti memperincikan isu yang dibangkitkan.

Bagi isu disiplin melibatkan peguam, LawSoc lazimnya akan mengemukakan tuduhan terhadap peguam berkenaan dan sebuah tribunal disiplin akan memutuskan sama ada peguam tersebut bersalah atau tidak.

Ini diikuti dengan perbicaraan Mahkamah Tiga Hakim, di mana hukuman akan dikenakan sekiranya peguam itu didapati bersalah. Hukuman boleh merangkumi denda, penggantungan khidmat hingga ke digugurkan daripada senarai peguam.

Mediacorp sudah menghubungi LawSoc dan Encik Pritam untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Carian yang dilakukan Mediacorp pada pagi Jumaat bagi nama Encik Pritam di laman web Kementerian Undang-Undang yang menyenaraikan para peguam dan firma-firma guaman tidak menemui sebarang hasil.

Kes itu dikemukakan selepas rayuan Encik Pritam terhadap sabitan berbohong kepada sebuah jawatankuasa parlimen ditolak.

Ia dikaitkan dengan pembohongan yang dibuat oleh mantan Anggota Parlimen (AP) Raeesah Khan.

Encik Pritam didapati bersalah dan didenda sebanyak S$14,000. Denda tersebut, iaitu S$7,000 bagi setiap tuduhan, tidak menyebabkan beliau hilang kelayakan sebagai AP kerana ia tidak mencapai ambang bagi kehilangan kelayakannya sebagai AP.

Encik Pritam membayar denda itu sepenuhnya pada hari rayuannya ditolak.

Selepas rayuan itu ditolak, Perdana Menteri Lawrence Wong melucutkan Encik Pritam daripada jawatan Ketua Pembangkang.

WP kemudian menolak peranan tersebut selepas diminta untuk menamakan seorang pengganti.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita