Lawrence Wong ulangi tekad lakukan terbaik untuk Singapura

Menteri Kewangan Lawrence Wong. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)
SINGAPURA: Menteri Kewangan Lawrence Wong berkata beliau akan "melakukan yang terbaik" untuk berkhidmat kepada Singapura.
Encik Wong berkata demikian menyusuli pengumuman bahawa beliau akan dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 13 Jun.
Langkah itu adalah sebahagian daripada rombakan Kabinet yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Isnin (6 Jun).
Encik Wong, dinamakan ketua pasukan generasi keempat Parti Tindakan Rakyat (PAP) atau pasukan 4G, pada awal tahun ini, membuka laluan untuk beliau menjadi Perdana Menteri Singapura berikutnya.
"Semasa saya diminta oleh rakan-rakan saya untuk memimpin pasukan 4G, saya berkata bahawa saya akan memikul tanggungjawab terbesar dalam hidup saya," tulisnya dalam catatan Facebook pada Isnin (6 Jun).
"Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya akan melakukan yang terbaik dan memberikan setiap kekuatan saya untuk berkhidmat kepada Singapura dan rakyat Singapura.
"Oleh itu, saya memohon sokongan anda, sedang saya menggalas jawatan terbaru saya sebagai (Timbalan Perdana Menteri), dan mengambil satu lagi langkah ke depan dalam memikul tanggungjawab baru saya."
Encik Wong akan terus memegang portfolio kewangan, menurut PMO. Beliau akan menjadi salah seorang daripada dua Timbalan Perdana Menteri, bersama Encik Heng Swee Keat, yang mengundurkan diri sebagai ketua pasukan 4G tahun lalu.
"Saya tidak sabar untuk melalui perjalanan ini bersama anda semua, dan bekerjasama dengan semua pihak - untuk memimpin Singapura dalam mengharungi pelbagai cabaran yang kita hadapi hari ini, dan melakar hala tuju baru kita bersama-sama bagi masa depan yang lebih baik," kata Encik Wong.
Encik Wong juga mengambil alih tanggungjawab Encik Heng dalam Kumpulan Strategi di Pejabat Perdana Menteri, yang dibentuk pada Julai 2015 unutk memperkukuh penyelarasan strategik bagi seluruh Pemerintah.
Beliau akan memangku jawatan Perdana Menteri semasa ketiadaan Encik Lee Hsien Loong.
"Kepimpinan generasi akan datang sedang dibentuk," kata PM Lee dalam catatan Facebook selepas pengumuman itu.
"Saya meminta semua orang agar memberikan sokongan penuh anda semasa peralihan penting ini, untuk membawa Singapura keluar dengan selamat daripada pandemik dan menuju masa depan yang lebih cerah."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.