"Lawrence Wong sudah diuji dan mendapat kepercayaan pucuk kepimpinan" - Pengamat
Kepercayaan memimpin Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian dalam menangani COVID-19 serta portfolio Kementerian Kewangan adalah dua isyarat penting tentang keupayaan Encik Lawrence Wong.
SINGAPURA: Kepercayaan memimpin Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian dalam menangani COVID-19 serta portfolio Kementerian Kewangan adalah dua isyarat penting tentang keupayaan Encik Lawrence Wong.
Demikian pengamatan Zamil Kanan ISEAS-Institut Yusof Ishak Dr Norshahril Saat mengenai pemilihan Encik Wong sebagai ketua pasukan Generasi Keempat (4G) Singapura.
Pemilihan tersebut diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong semalam (15 Apr).
Dr Norshahril berkata: "COVID-19 adalah satu wabak yang sering berubah-ubah dan kita tidak tahu dan tidak boleh menjangkakan apakah kesudahannya. Justeru kita perlukan satu kepimpinan yang jelas dan jitu untuk mengeluarkan Singapura dari krisis ini. Saya fikir itu satu kepercayaan yang diberikan kepada Encik Lawrence Wong untuk menggalas tugas itu."
Tambah beliau, mengikut sejarah politik Singapura, antara portfolio yang dipegang sebelum seseorang menteri dipilih menjadi Perdana Menteri adalah sebagai Menteri Kewangan yang kini dipegang Encik Wong.
"Ini satu portfolio yang penting demi penakatan Singapura. Saya fikir dua isyarat ini jelas bahawa beliau sudahpun diuji dan sudahpun mendapat kepercayaan kepimpinan.
Saya fikir bahawa rakyat Singapura secara amnya juga melihat isyarat-isyarat ini dan saya fikir mereka juga yakin bahawa Encik Lawrence Wong adalah seorang yang sangat berkaliber," kata beliau lagi.
MESEJ KEPADA RAKYAT BAHAWA 4G BEKERJA SEBAGAI SATU PASUKAN
Dr Norshahril juga berkata ada mesej lain yang ingin disampaikan kepada rakyat menerusi proses pemilihan yang dijalankan.
"Walaupun kita jangkakan pengumuman itu seharusnya lebih dekat pada pilihan raya ataupun sebelum rombakan kabinet tapi saya fikir bahawa sudah ada perbincangan dalam kalangan masyarakat yang mungkin menyebabkan Parti Tindakan Rakyat menamakan seorang pemimpin baru yang bakal menggantikan Encik Lee Hsien Loong."

Tetapi yang penting, tambah beliau, parti PAP juga perlu menunjukkan kesepaduan dan memberikan isyarat atau mesej yang jelas kepada rakyat bahawa mereka harus bekerja sebagai satu pasukan.
"Kita tidak mahu jadi seperti negara lain di mana ada semacam percaturan politik, ada semacam pergolakan ataupun perlumbaan bagi jawatan tertinggi. Ini bukan budaya politik di Singapura dan saya rasa itulah satu mesej akan datang yang perlu dikembangkan kepada rakyat," kata beliau.
BUKAN KEPUTUSAN MENDADAK
Encik Wong dipilih sebagai ketua pasukan 4G menerusi satu proses pemilihan yang bertahap-tahap.
Pertama, proses konsultasi diadakan bersama para Menteri.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong kemudian meminta mantan Menteri Kabinet dan Pengerusi Parti Tindakan Rakyat (PAP) Khaw Boon Wan untuk memulakan satu proses konsultasi melibatkan para Menteri, Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin dan Setiausaha Agung NTUC Ng Chee Meng.
Encik Khaw kemudian bertemu mereka secara peribadi bagi mendapatkan pandangan masing-masing tentang pemilihan pemimpin 4G.
Encik Khaw mendapati "majoriti besar" menyokong Encik Wong ^sebagai ketua pasukan 4G.
Encik Khaw kemudian memberi taklimat kepada menteri-menteri kabinet, Speaker dan Setiausaha Agung NTUC mengenai hasil dapatannya.
Keputusan itu kemudian diserahkan dan disokong para Anggota Parlimen PAP untuk memilih Encik Wong sebagai ketua pasukan 4G dalam satu kokus parti PAP.
Perbincangan-perbincangan tersebut, menurut Dr Norshahril Saat mengambil proses yang lama.
Maka itu, pengumuman PM Lee mengenai pemilihan ketua pasukan 4G itu bukan keputusan yang dibuat secara "mendadak".
"Sudah timbul semacam tanda tanya tentang siapakah yang akan menggantikan Encik Heng Swee Keat, yang sebelum Ini dikatakan akan menjadi pemimpin 4G dan menjadi bakal Perdana Menteri Singapura.
"Justeru saya fikir ada keperluan untuk menamakan seseorang dan ini juga memberikan isyarat yang jelas kepada masyarakat bahawa kepimpinan 4G ini amat serius untuk mengambil alih tampuk kepimpinan di Singapura," jelas beliau.
APA YANG DAPAT DIJANGKAKAN SELEPAS INI?
Dr Norshahril berkata, pengalaman luas Encik Wong yang pernah memegang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Negara, Menteri Pendidikan, Menteri Perhubungan dan Penerangan serta Menteri Kebudayaan dan Sukan juga mungkin membantu dalam pemilihan tersebut.
Ini kerana "sebagai bakal pemimpin 4G, beliau sedikit sebanyak tahu dan ada pengetahuan tentang cara-cara kementerian-kementerian ini berfungsi".
Jadi apa yang dapat masyarakat jangkakan dalam masa terdekat?
"Kalau kita lihat bahawa Perdana Menteri sebelum ini yang menyandang jawatan sebagai Setiausaha Agung PAP, jadi kita mungkin boleh melihat perubahan dalam pengurusan parti itu sendiri.
"Sama ada kita akan menjangkakan satu rombakan kabinet itu sebenarnya terpulang kepada kebijaksanaan Perdana Menteri Lee Hsien Loong. Tetapi mungkin ada semacam harapan dalam masyarakat bahawa sebelum seseorang itu menggalas jawatan Perdana Menteri atau disebut-sebut sebagai bakal Perdana Menteri, tentu sekali tapi ada semacam harapan bahawa seseorang itu perlu menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri sekurang-kurangnya untuk beberapa tahun," kata Dr Norshahril.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.