Lawrence Wong lawat AS, hadiri mesyuarat G20 & Bank Dunia-IMF

Menteri Kewangan Lawrence Wong. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)
SINGAPORE: Menteri Kewangan Lawrence Wong akan mengadakan lawatan 10 hari ke Amerika Syarikat mulai hari ini (16 Apr).
Demikian menurut Kementerian Kewangan (MOF) menerusi kenyataan medianya.
Ini merupakan lawatan pertama beliau ke luar negara sejak diumumkan sebagai ketua tampuk kepimpinan politik generasi keempat Singapura.
Encik Wong akan berada di Washington DC dan New York untuk bertemu dengan para anggota Pentadbiran Amerika Syarikat. Beliau juga akan menghadiri Mesyuarat-Mesyuarat Musim Bunga Bank Dunia-IMF serta Mesyuarat Kedua Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat (FMCBG), dengan Indonesia selaku pengerusi Sidang Puncak G20 bagi 2022.
"FMCBG akan membincangkan isu-isu seperti kedudukan ekonomi sejagat; kesediaan pandemik, pencegahan dan respons, dan pembangunan kewangan berdaya mampan, termasuk dasar-dasar untuk beralih ke masa depan lebih mesra alam dan rendah karbon," menurut MOF.
Encik Wong yang diundang untuk berucap di Institut Peterson bagi Minggu Makro Ekonomi Antarabangsa pada 18 April, yang merupakan satu siri perbincangan dalam kalangan menteri kewangan dan gabenor bank pusat dari merata dunia.
Pada 21 April, beliau akan menghadiri Mesyuarat Pasukan Bertindak Kewangan Peringkat Menteri (FATF). FATF adalah badan pemerhati bagi kegiatan pengubahan wang haram dan pembiayaan pengganasan.
Menurut MOF: "Di mesyuarat itu, para menteri akan meninjau dan meneliti kemajuan FATF sejak ia melaksanakan mandat terbuka pada 2019 dan perisytiharan Menteri FATF yang akan mencorak hala tuju strategik FATF dari 1 Julai 2022 hingga 20 Jun 2024."
Singapura akan mempengerusikan FATF mulai 1 Julai 2022.
Dengan diiringi para pegawai dari MOF dan Kementerian Ehwal Luar (MFA), Encik Wong juga akan memanfaatkan lawatan ini untuk mengadakan pertemuan dengan para pemimpin perniagaan dari sektor swasta dan rakyat Singapura yang berpangkalan di New York City.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.