Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lawrence Wong ikrar adakan lebih banyak sidang media sebagai usaha pemerintah perbaiki komunikasi awam; MCI dinamakan semula

Anggaran Waktu Membaca:
 Lawrence Wong ikrar adakan lebih banyak sidang media sebagai usaha pemerintah perbaiki komunikasi  awam; MCI dinamakan semula

(Gambar: CNA/Try Sutrisno Foo)

SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong berjanji untuk mengadakan lebih banyak sidang media supaya pemerintah boleh menyampaikan "pemikiran dan pertimbangannya" kepada orang awam dengan lebih baik, apabila beliau mengambil alih sebagai Perdana Menteri Singapura keempat.

Ketika bercakap kepada media pada Isnin (13 Mei) selepas mengumumkan barisan Menteri baharunya, dua hari sebelum mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baharu, Encik Wong berkata bahawa pemerintah ketika pandemik COVID-19 sering mengadakan sidang media untuk berkomunikasi dengan orang awam.

Pada satu ketika, sidang media mingguan diadakan untuk memberikan kemas kini kepada orang awam mengenai keadaan COVID-19 dan langkah-langkah terkini untuk mengawal pandemik itu.

Menurut Encik Wong, beliau mendapati sesi sedemikian "sangat membantu", meskipun beliau tiada rancangan untuk mengadakan sidang media sekerap itu.

Dari semasa ke semasa, "apabila terdapat perkembangan dan pemikiran baharu", Encik Wong berkata ia memberi manfaat bagi dirinya dan kementerian relevan untuk bertemu dengan pihak media dalam sidang media.

"Ia adalah untuk berkongsi pendapat kami, untuk memberitahu anda apa yang berlaku, dan menerusi pihak media, menjelaskan pemikiran dan pertimbangan pemerintah kepada orang awam," katanya.

Encik Wong juga menjelaskan sebab Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) dinamakan semula kepada Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), di mana belau menjelaskan ia "bukan penukaran nama semata-mata".

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Pejabat Perdana Menteri (PMO) menyatakan: "Nama baharu itu mencerminkan peranan kementerian tersebut dalam memacu agenda digital negara kami."

Mengulas perkara itu kepada media, Encik Wong menekankan bagaimana Pejabat Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGO) dan Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) ditubuhkan di bawah Pejabat Perdana Menteri.

Menurutnya, SNDGO dan GovTech menerajui beberapa inisiatif pendigitalan, begitu juga dengan MCI yang sedia ada.

"Jadi, daripada melakukannya secara berasingan, kami fikir ia lebih baik dari segi pentadbiran bagi usaha ini disatukan, sebagai sebahagian daripada strategi digital nasional yang jelas," kata Encik Wong.

Strategi itu akan meliputi bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital lain, tambahnya.



Menteri Perhubungan dan Penerangan Josephine Teo memuat naik catatan di Facebook selepas pengumuman itu, dan berkata bahawa peranan kementeriaannya dalam pembangunan digital berubah dengan ketara sejak beberapa tahun lalu.

"Oleh itu, menamakannya kepada MDDI adalah langkah yang bermakna dan tepat pada masanya untuk mencerminkan portfolio digital kementerian ini, yang lebih luas dan mengiktiraf peluang serta cabaran baharu dalam era digital," kata Cik Teo, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Inisiatif Negara Bijak dan Keselamatan Siber.

Beliau menambah bahawa kementerian yang baru dinamakan itu akan menyelia keselamatan siber dan pengawalseliaan infrastruktur digital, perlindungan data dan kandungan online, serta memacu pembangunan dan aplikasi teknologi dan keupayaan digital.

Ini selain peranan sedia ada dalam menyelia dasar dan strategi maklumat, dan menyelaraskan dasar maklumat keseluruhan pemerintah.

MCI akan dinamakan semula kepada MDDI mulai 8 Julai.
Sumber : Today/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan