Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lawrence Wong dipilih sebagai timbalan setiausaha agung PAP

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 26 Nov 2022 04:11PM Dikemas Kini : 26 Nov 2022 10:36PM

SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Lawrence Wong dipilih sebagai timbalan setiausaha agung Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Sabtu (26 Nov), menyusuli mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) PAP.

Dalam satu kenyataan media, PAP menyatakan: "CEC melantik seorang anggota untuk memegang jawatan baru timbalan setiausaha agung, selain dua anggota sebagai penolong setiausaha agung. Ia selaras dengan perancangan bagi peralihan kepimpinan parti.

Dua penolong setiausaha agung tersebut itu ialah Menteri Pendidikan Chan Chun Sing dan Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee.

Dalam barisan anggota CEC sebelum ini, Encik Chan merupakan penolong setiausaha agung kedua sementara Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat memegang jawatan penolong setiausaha agung pertama.

Ketika Encik Heng menyandang jawatan itu pada 2018, ia dianggap sebagai petanda beliau mendahului proses pemilihan perdana menteri Singapura seterusnya.

Setelah beliau berundur daripada proses pemilihan pada tahun lalu, Encik Wong dinamakan pada April sebagai pemimpin pasukan generasi keempat atau 4G PAP, yang sekali gus membuka laluan baginya untuk menggantikan Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

"Timbalan setiausaha agung akan menggalas peranan dan tanggungjawab setiausaha agung PAP Lee Hsien Loong semasa ketidakhadirannya," menurut PAP dalam kenyataan media pada Sabtu.

CEC ke-37 PAP melantik Encik Heng sebagai pengerusi, menggantikan Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong, yang mengumumkan beliau akan berundur dari jawatan itu semasa persidangan PAP pada awal bulan ini.

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli dilantik semula sebagai naib pengerusi.

Empat lagi anggota juga dilantik sebagai anggota CEC parti.

Mereka ialah Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng, setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) Ng Chee Meng, Anggota Parlimen GRC East Coast Cheryl Chan dan Alex Yeo, wakil PAP bagi GRC Aljunied.

Senarai penuh para anggota CEC serta jawatan yang disandang adalah seperti berikut:

  • Pengerusi: Heng Swee Keat
  • Naib Pengerusi: Masagos Zulkifli
  • Setiausaha Agung: Lee Hsien Loong
  • Timbalan Setiausaha Agung: Lawrence Wong
  • Penolong Setiausaha Agung: Chan Chun Sing & Desmond Lee
  • Bendahari: K Shanmugam
  • Penolong Bendahari: Ong Ye Kung
  • Setiausaha Penganjur: Grace Fu & Edwin Tong*


Anggota-anggota CEC:

  • Alex Yeo^
  • Cheryl Chan^
  • Indranee Thurai Rajah
  • Josephine Teo*
  • Ng Chee Meng^
  • Tan Chuan-Jin
  • Tan See Leng ^
  • Vivian Balakrishnan


*Disertakan dalam CEC pada 6 November 2022
^ Disertakan dalam CEC pada 26 November 2022

Sumber : CNA/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan