Lawrence Wong bakal lakukan lawatan rasmi pertama ke China sejak dilantik DPM
SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong akan melakukan lawatan rasmi ke China, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Sabtu (13 Mei).
Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, akan berada di China dari 13 hingga 17 Mei atas undangan Naib Perdana Menteri China Ding Xuexiang.
Encik Wong akan mengunjungi Shanghai dan Beijing sewaktu lawatan kerja lima harinya.
Ini merupakan lawatan Encik Wong yang pertama ke China sejak beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Jun 2022.
Di Shanghai, Encik Wong akan bertemu dengan Setiausaha Jawatankuasa Perbandaran Shanghai Parti Komunis China (CPC) Chen Jining dan Datuk Bandar Shanghai Gong Zheng. Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan rakyat Singapura yang berpangkalan di bandar itu.
Semasa di Beijing pula, Encik Wong akan bertemu dengan Perdana Menteri China Li Qiang.
Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Naib PM Ding, Menteri Jabatan Pertubuhan Pusat CPC Li Ganjie dan Menteri Kewangan Liu Kun secara berasingan.
Encik Wong akan diiringi oleh Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee, Menteri Negara Kanan Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara Sim Ann, Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia merangkap Pertahanan Zaqy Mohamad serta Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Low Yen Ling, di samping para pegawai pemerintah lain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.