Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lawatan tidak mendesak ke A&E berisiko jejas piawai jagaan pesakit serius lain

Lawatan tidak mendesak ke jabatan kecemasan hospital berisiko menjejaskan piawai jagaan bagi para pesakit lain yang benar-benar memerlukan khidmat perubatan darurat, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Ahad (6 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Lawatan tidak mendesak ke A&E berisiko jejas piawai jagaan pesakit serius lain

Jabatan A&E di Hospital Tan Tock Seng Singapura. (Gambar: TTSH/Facebook)

SINGAPURA: Lawatan tidak mendesak ke jabatan kecemasan hospital berisiko menjejaskan piawai jagaan bagi para pesakit lain yang benar-benar memerlukan khidmat perubatan darurat, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Ahad (6 Feb).

Buat masa ini, hospital-hospital di sini menyaksikan jumlah tinggi pesakit di jabatan kecemasannya lantas menyebabkan barisan beratur panjang dan masa menunggu yang lama, terang MOH. Ia menambah kebanyakan pesakit itu tidak memerlukan rawatan kecemasan.

MOH menasihatkan anggota masyarakat supaya mendapatkan rawatan perubatan di jabatan kecemasan hospital hanya bagi kes-kes mudarat yang mengancam nyawa seperti sakit dada, sesak nafas dan pendarahan sukar dikawal.

“Ini membolehkan mereka yang mengalami sakit teruk dan memerlukan rawatan kecemasan dirawat dengan segera. Ia juga membantu memperuntukkan kapasiti hospital kami bagi mereka yang benar-benar memerlukan rawatan hospital akut," tambah kementerian itu.

Jabatan Kecemasan Kanak-Kanak di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) serta Hospital Universiti Nasional (NUH) menyaksikan jumlah pesakit yang tinggi sepanjang dua minggu lalu.

MOH menyatakan secara purata, terdapat lebih 650 kes sehari bagi kedua-dua jabatan kecemasan kanak-kanak tersebut minggu ini, naik dari purata 450 kes setiap hari pada awal Januari.

Sekitar 80 peratus pesakit, termasuk mereka yang dijangkiti COVID-19, mengalami gejala ringan serta tidak perlu dimasukkan ke hospital dan mereka dibenarkan pulang selepas pergi ke jabatan kecemasan.

“Dalam kalangan pesakit pediatrik yang dimasukkan ke hospital, kebanyakan daripada mereka tidak duduk lama di hospital dan dibenarkan pulang secara purata dalam masa dua hingga tiga hari. Jumlah kes jangkitan teruk COVID-19 dan Sindrom Keradangan Pelbagai Sistem pada kanak-kanak (MIS-C) kekal rendah, iaitu kurang satu daripada 1,000 kes pediatrik," menurut MOH.

“Kami menggesa anggota masyarakat, termasuk kanak-kanak, supaya mengunjungi klinik swasta atau klinik 24 jam bagi kes bukan kecemasan."

Seandainya individu memerlukan ujian COVID-19 atau diperiksa bagi gejala jangkitan pernafasan akut, mereka boleh mengunjungi Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) untuk penilaian lanjut.

Lebih 700 klinik sedemikian dibuka selepas waktu pejabat pada hari-hari tertentu, menurut MOH.

Terdapat juga enam pusat swab pediatrik yang menyediakan swab pediatrik untuk kanak-kanak berumur enam tahun dan ke bawah. Empat daripadanya dibuka selepas waktu pejabat pada hari-hari tertentu.

Ia adalah: Klinik Keluarga 24 jam Thomson Medical Centre, Raffles Specialist di Raffles Holland V, Pusat Raffles Kanak-Kanak di Tampines One, Raffles Juniors di Waterway Point serta Thomson Paediatric Centre di JEM dan Serangoon Central.

Kanak-kanak berusia lima tahun dan ke atas juga boleh melakukan swab di Pusat Jagaan Segera (Woodlands Health).

Senarai terkini Klinik Doktor Swasta (GP) dan waktu operasi masing-masing boleh didapatkan di laman-laman MOH, Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) serta aplikasi mudah alih HealthHub.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan