Lawatan rasmi PM Fiji ke SG kukuhkan hubungan dua hala
Perdana Menteri Fiji Sitiveni Rabuka kini berada di Singapura bagi lawatan rasmi selama tiga hari yang bermula pada Isnin (21 Apr).
Perdana Menteri Fiji Sitiveni Rabuka melakukan lawatan rasmi ke Singapura selama tiga hari. (Gambar: Facebook/Fiji Government)
Beliau diundang Perdana Menteri Lawrence Wong, dalam usaha untuk memperdalamkan hubungan Singapura dengan negara-negara Pasifik.
Kedua-dua negara dijangka mengukuhkan lagi hubungan perdagangan, berkongsi komitmen untuk menegakkan peraturan antarabangsa berasaskan undang-undang, serta membincangkan usaha bagi menangani cabaran-cabaran global seperti perubahan iklim.
Lawatan tersebut menandakan lawatan rasmi kedua Encik Rabuka ke Singapura selepas 27 tahun.
Dalam lawatannya kali ini, Encik Rabuka akan menerima sambutan beristiadat di Parlimen dan akan dijamu makan tengah hari oleh PM Wong.
Encik Rabuka yang juga Menteri Ehwal Luar Fiji, akan bertemu Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong.
Selain itu, Encik Rabuka juga akan melawat Pusat Kawalan Operasi Pelabuhan Penguasa Maritim dan Pelabuhan (MPA) pada hari terakhir lawatannya.
Lawatan Encik Rabuka ke Singapura mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang terjalin sejak 1971.
Fiji merupakan salah satu rakan perdagangan terbesar Singapura dalam kalangan 14 negara Kepulauan Pasifik.
Singapura juga merupakan rakan perdagangan terbesar Fiji pada 2023.
Sebelum ini, untuk membanteras COVID-19, Singapura pernah mengongsikan kod sumber pengesanan kontak tempatan bersama Fiji.
Singapura turut menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada Fiji selepas negara itu dilanda taufan.
Kedua-dua negara juga berganding bahu berhubung isu kredit karbon.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.