Skip to main content

Singapura

Lawatan Presiden Tharman tegaskan lagi hubungan, kerjasama baik SG-Belgium

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Mar 2025 07:14AM Dikemas Kini : 25 Mar 2025 11:14PM
BRUSSELS: Presiden Tharman Shanmugaratnam berkata Singapura dan Belgium telah menikmati kemakmuran kerana kedua-dua negara mengamalkan pemikiran global.

Beliau menarik perhatian kepada komitmen kedua-dua negara kepada ekonomi terbuka, amalan berbilang negara dan aturan antarabangsa berasaskan peraturan.

Presiden Tharman sedang melakukan Lawatan Negara ke Belgium.

Beliau telah diberi sambutan beristiadat di Istana oleh Raja Philippe dan Permaisuri Mathilde pada Isnin (24 Mac).

Inilah kali pertama seorang pemimpin Singapura melakukan Lawatan Negara ke Belgium sejak hubungan dua hala dijalan hampir 60 tahun lalu.

Selepas upacara sambutan itu, Presiden Tharman telah mengadakan pertemuan-pertemuan dua hala di Bangunan Parlimen.

Rundingan tertumpu kepada pentingnya kedua-dua negara terus mempertahankan amalan berbilang negara dan cara-cara bertindak dengan lebih berkesan bagi menangani cabaran-cabaran global seperti perubahan iklim, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Perdana Menteri Belgium, Bart de Wever juga mengadakan pertemuan dengan Presiden Tharman dan mereka menegaskan lagi hubungan baik yang terjalin.

Mereka turut bersetuju untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam bidang-bidang seperti inovasi dan kemampanan.

Presiden Tharman turut diberi sambutan beristiadat oleh Datuk Bandar Brussel, Philippe Close semasa beliau berada di pusat ibu kota Belgium itu.

Di majlis jamuan negara pada sebelah malam, Raja Philippe berkata Belgium amat menghargai dasar luar Singapura yang didorong oleh keperluan untuk keamanan, kestabilan dan menghormati undang-undang antarabangsa.

Dalam ucapannya pula, Presiden Tharman menyebut tentang pelbagai persamaan yang dikongsi kedua-dua negara.

Menurut beliau sepanjang hampir 60 tahun menjalin hubungan diplomatik, Singapura dan Belgium telah membina ikatan yang kukuh.

Ia berdasarkan komitmen kepada dasar ekonomi terbuka, amalan berbilang negara dan aturan antarabangsa yang berasaskan undang-undang.
Sumber : CNA/MU/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita