Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lawatan Presiden Halimah ke M'sia akan suntik momentum positif hubungan dua hala

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Mar 2023 07:10PM Dikemas Kini : 18 Mar 2023 09:55PM
SINGAPURA: Lawatan rasmi Presiden Halimah Yacob selama tiga hari ke Malaysia bermula Isnin (20 Mac) bakal menyuntik lagi momentum positif dalam hubungan dua hala kedua-dua negara.

Kunjungan atas undangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu juga bakal mengukuhkan lagi kerjasama kedua-dua negara di peringkat tertinggi.

Puan Halimah berkata lawatan beliau itu merupakan rentetan kemajuan yang dicapai semasa kunjungan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Januari yang menyaksikan kedua-dua pihak memeterai tiga perjanjian membabitkan kedua-dua pemerintah bagi menggalak kerjasama dalam ekonomi hijau dan digital serta keselamatan siber.
Beliau berkata demikian dalam wawancara dengan Bernama menerusi emel dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur menjelang lawatan itu.

Mengulas bagaimana lawatan itu dapat memperkukuhkan lagi hubungan dua hala, Presiden Halimah berkata selain bertemu dengan Al-Sultan Abdullah, beliau juga akan bertemu dengan pemimpin-pemimpin Malaysia, yang akan menumpukan kepada agenda penting kedua-dua negara, meneroka bidang kerjasama baru dan mengulangi semula hasrat Singapura bagi membangunkan kerjasama saling menguntungkan dengan Malaysia untuk jangka panjang.

Selain itu, beliau turut menggariskan bahawa ekonomi digital dan mampan serta keselamatan siber seperti yang dipersetujui sebelum ini oleh kedua-dua pihak, sebagai bidang yang boleh dibangunkan dan diteroka dengan lebih meluas.

“Ini adalah bidang baru untuk kedua-dua negara kita dan akan membuka peluang pertumbuhan baru bagi perniagaan di Singapura dan Malaysia, terutamanya apabila pendigitalan mempercepatkan urusan kehidupan kita dan negara-negara di seluruh dunia meneruskan pembangunan mampan untuk masa depan generasi kita," katanya.

Selain itu, kedua-dua negara telah menjalin hubungan perniagaan yang kukuh dalam pelbagai bidang merangkumi infrastruktur, telekomunikasi, keselamatan makanan, penjagaan kesihatan, pendidikan dan e-dagang.

"Syarikat-syarikat kami berminat untuk memperluaskan pelaburan dalam bidang ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau akan bertemu ahli perniagaan Singapura dan Malaysia bagi membincangkan mengenai perkara-perkara yang boleh dilaksanakan bersama untuk menyokong dan memudahkan projek serta rancangan pembangunan di kedua-dua negara.

Puan Halimah turut berkeyakinan bahawa Projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS) yang dijangka siap menjelang akhir 2026, bakal berperanan sebagai pengubah keadaan yang bukan sahaja mempermudahkan urusan orang ramai dan transaksi barangan, malah membantu mengurangkan kesesakan di Tambak Johor, selain mengeratkan lagi hubungan yang produktif antara kedua-dua negara.

Mengenai pendekatan Malaysia dan Singapura menyelesaikan pelbagai isu yang muncul dari semasa ke semasa, Puan Halimah berbangga kerana sejak sekian lama para pemimpin Singapura dan Malaysia bijak dalam meneroka kaedah untuk “memperkukuhkan persefahaman dan mengurangkan perbezaan.”

Ini “termasuk mengasingkan isu yang lebih sesuai diselesaikan melalui mekanisme penyelesaian pihak ketiga."

“Ini adalah cara matang untuk menangani hubungan dua hala kami, untuk sentiasa membina dan memperbaharui kepercayaan, menghormati perjanjian dan persefahaman terdahulu dan sentiasa mencari perkara baru yang saling menguntungkan yang boleh dilaksanakan bersama,” katanya.

Puan Halimah turut menyentuh mengenai elemen penting dalam menjalin persefahaman yang lebih kukuh, keperluan untuk membina tahap kepercayaan dan keakraban antara rakyat di semua peringkat serta menggalak pertukaran, sama ada untuk bekerja atau bersantai.

"Saya amat berbesar hati kerana sejak sempadan kedua-dua negara dibuka semula sepenuhnya pada April 2022, terdapat lebih satu juta rakyat Singapura berkunjung ke Malaysia setiap bulan melalui pusat pemeriksaan darat kami," katanya.

Justeru itu, beliau berkata lebih banyak peluang mesti diwujudkan bagi membolehkan golongan belia mengenali antara satu sama lain dan mencipta pengalaman bersama.

“Terdapat banyak inisiatif dan platform yang membantu mewujudkan peluang untuk anak muda Singapura dan Malaysia – termasuk pelajar, artis dan atlit kami – untuk berinteraksi,” katanya.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan