Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lawatan ke wad hospital, rumah jagaan masih digantung hingga 3 April

Anggaran Waktu Membaca:
Lawatan ke wad hospital, rumah jagaan masih digantung hingga 3 April

Hospital Masyarakat Outram (Gambar: Facebook/SingHealth Community Hospitals)

Diterbitkan : 18 Mar 2022 10:43PM Dikemas Kini : 18 Mar 2022 10:43PM

SINGAPURA: Lawatan ke wad hospital dan rumah jagaan akan terus digantung sehingga 3 April, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (18 Mac). 

"Walaupun jumlah kes harian COVID-19 sudah merosot sepanjang minggu lalu, hospital kami masih berdepan dengan jumlah pesakit yang tinggi dan pekerja jagaan kesihatan masih tertekan," menurut MOH dalam satu kenyataan media. 

"Justeru, untuk mengurangkan tekanan terhadap kakitangan hospital dan rumah jagaan yang sedang menjaga pesakit yang dijangkiti COVID-19, lawatan ke wad hospital dan rumah jagaan akan terus digantung," tambah MOH. 

Sebelum ini, lawatan ke wad hospital dan rumah jagaan digantung sehingga 20 Mac. 

LAWATAN DIBENARKAN UNTUK KES-KES TERTENTU

Bagaimanapun, hospital dan rumah jagaan boleh memutuskan untuk membenarkan lawatan bagi kes tertentu. 

Di hospital, ini termasuk pesakit yang sakit tenat, pesakit kanak-kanak dan ibu yang bakal atau sudah melahirkan anak. 

Pesakit yang memerlukan penjaga juga dibenarkan untuk menerima lawatan. 

"Contoh penjaga termasuk mereka yang membantu pesakit yang kurang daya mental atau anggota keluarga yang sedang menjalani latihan untuk menjaga orang tersayang mereka dengan lebih baik setelah dibenarkan keluar hospital," menurut MOH. 

Kumpulan pesakit ini dibenarkan untuk menerima satu lawatan setiap hari daripada seorang pelawat yang ditetapkan. 

Namun, pesakit yang tenat boleh menerima sehingga lima pelawat yang ditetapkan, dengan had dua pelawat pada satu-satu masa. 

Mereka yang dibenarkan  melawat wad hospital harus mengemukakan hasil negatif ujian pantas antigen (ART) dalam tempoh 24 jam untuk setiap lawatan, menurut MOH lagi. 

"Ini diwajibkan untuk semua pelawat, tidak kira status vaksinasi, kecuali bagi mereka yang sudah pulih daripada jangkitan COVID-19 dan boleh mengemukakan notis pengecualian Ujian Pra-Acara (PET) yang sahih," tambah MOH. 

Pelawat yang sudah lengkap divaksin atau tidak layak menerima suntikan atas sebab perubatan boleh menjalani ujian ART kendiri tanpa diselia atau memilih untuk menjalani ujian ART yang dilakukan atau diselia penyedia ujian COVID-19 yang diluluskan MOH, termasuk ujian yang dilakukan di Pusat Ujian Pantas (QTC). 

Mereka yang memilih untuk menjalani ujian ART kendiri tanpa diselia perlu mengemukakan hasil ART yang sah, seperti menunjukkan bukti keputusan ART yang bertanda masa dan tarikh serta ID bergambar untuk pengesahan sebelum memasuki premis tersebut.

Pelawat yang belum lengkap divaksin perlu menunjukkan ujian ART yang dilakukan atau diselia oleh penyedia ujian yang diluluskan MOH, menurut MOH. 

MOH menyatakan ia akan menyemak semula dan membuat penyesuaian kepada langkah-langkah berkenaan mengikut keadaan semasa. 

Bagi memastikan pesakit dan penghuni boleh terus berkomunikasi dengan orang tersayang semasa tempoh ini, hospital  dan rumah rawatan akan terus memberi sokongan menyediakan kaedah komunikasi alternatif, seperti menerusi panggilan telefon atau video. 

"Kami memohon kerjasama dan pemahaman pesakit, penghuni dan anggota keluarga mereka serta orang tersayang," tambah MOH lagi. 

Sumber : CNA/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa