Lawatan ke wad hospital, rumah jagaan disambung semula mulai 4 April
Gambar: Calvin Oh
SINGAPURA: Lawatan ke wad hospital dan rumah jagaan akan disambung semula mulai 4 April, menurut
Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini (31 Mac).
Dalam satu kenyataan media, MOH mengumumkan bahawa lawatan ke wad hospital dan rumah jagaan akan disambung semula kerana jumlah harian kes COVID-19 semakin merosot dan keadaan di hospital serta rumah jagaan "bertambah baik".
Penggantungan lawatan ke wad hospital dan rumah jagaan bermula pada 24 Januari adalah sebahagian daripada langkah berjaga-jaga dek gelombang jangkitan varian Omicron. Penggantungan itu dijangka akan berakhir pada 20 Februari namun diteruskan sehingga 3 April.
Hari ini, MOH beri penekanan bahawa para pelawat harus mematuhi langkah-langkah kawalan jangkitan yang ditetapkan kerana mereka yang dirawat di hospital dan rumah jagaan merupakan golongan yang mudah terjejas.
MOH menambah bahawa lawatan ke wad hanya dibenarkan untuk individu yang sudah lengkap divaksin.
Namun, MOH akan membenarkan individu yang tidak layak menerima vaksin COVID-19 untuk dikecualikan.
MOH memahani bahawa sukar buat pesakit dan penghuni serta anggota keluarga selama beberapa bulan yang lalu ketika lawatan ke wad hospital dan rumah jagaan digantung.
"Kami ingin mengucapkan terima kasih atas pemahaman anda. Kami memohon kerjasama berterusan kepada pelawat untuk mematuhi langkah-langkah kawalan jangkitan yang ditetapkan untuk memastikan pesakit dan penduduk selamat."
MOH menambah bahawa kementerian itu akan menyemak semula langkah apabila keadaan berubah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.