Skip to main content

Singapura

Lawatan DPM Gan ke Amerika untuk kukuhkan hubungan, teroka kerjasama baharu

Anggaran Waktu Membaca:
Lawatan DPM Gan ke Amerika untuk kukuhkan hubungan, teroka kerjasama baharu

DPM Gan Kim Yong (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 19 Jul 2025 07:48AM Dikemas Kini : 19 Jul 2025 07:49AM
SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Gan Kim Yong, akan mengadakan lawatan ke Amerika Syarikat bermula Ahad ini (20 Jul) hingga Sabtu depan, bagi mengukuhkan hubungan dan membincangkan beberapa bidang kerjasama.

Dalam kenyataan media pada Jumaat, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) memaklumkan bahawa Encik Gan akan melawat New York pada Isnin hadapan, sebelum menuju ke Washington, DC pada keesokan harinya.

Beliau akan terus berada di Washington, DC sehingga akhir lawatan tersebut.

“Lawatan ini akan mempereratkan lagi hubungan yang kukuh dan pelbagai antara Singapura dan Amerika Syarikat,” menurut MTI.

MTI juga menyatakan bahawa hubungan tersebut merangkumi "hubungan ekonomi dan perdagangan yang bermakna serta saling menguntungkan" antara kedua-dua negara.

Semasa lawatan itu, Encik Gan dijadualkan bertemu dengan beberapa setiausaha Kabinet Amerika, ahli-ahli Kongres, serta wakil-wakil dari sektor perniagaan dan swasta.

Beliau juga akan menyertai mesyuarat meja bundar perniagaan anjuran Dewan Perniagaan Amerika Syarikat untuk membincangkan perkembangan ekonomi serantau dan antarabangsa serta peluang kerjasama masa hadapan antara syarikat Amerika dan Singapura.

Beliau akan diiringi beberapa pegawai daripada MTI, Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Singapura dan Amerika adalah rakan dagangan dan pelaburan utama.

Namun demikian, Singapura masih tertakluk kepada kadar tarif asas sebanyak 10 peratus yang diumumkan oleh Presiden Amerika Donald Trump pada 2 April lalu.

Encik Gan kini mengetuai pasukan bertindak yang ditubuhkan pada April untuk membantu perniagaan dan pekerja menangani ketidaktentuan akibat tarif tersebut, memperkukuh daya tahan, dan menyesuaikan diri dengan landskap ekonomi baharu.

Pada 2024, Amerika merupakan rakan dagangan kedua terbesar bagi Singapura.

Singapura pula merupakan rakan dagangan ke-16 terbesar Amerika.

Singapura adalah pelabur Asia ketiga terbesar di Amerika, dengan lebih 250 syarikat beroperasi di 45 wilayah Amerika.

Singapura juga merupakan penerima terbesar pelaburan Amerika di Indo-Pasifik, dan keenam terbesar di dunia.

Selain perdagangan, kedua-dua negara juga terus memperkukuh kerjasama dalam bidang baharu seperti tenaga dan kerjasama nuklear awam.

“Singapura menjalin hubungan yang luas dan pelbagai dengan Amerika, merangkumi ikatan ekonomi, pertahanan, dan hubungan antara rakyat yang kukuh dan lama terjalin,” menurut MTI.

Ia juga memperdalam kerjasama dengan Amerika dalam tenaga serta teknologi kritikal dan yang kian muncul, tambah kementerian itu.
Sumber : CNA/IM/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita