Skip to main content

Singapura

Lawatan berpandu percuma kawalan trafik udara, aksi bomba lapangan terbang di rumah terbuka Akademi Penerbangan Singapura

Anggaran Waktu Membaca:
Lawatan berpandu percuma kawalan trafik udara, aksi bomba lapangan terbang di rumah terbuka Akademi Penerbangan Singapura

(Gambar: CAAS)

Diterbitkan : 04 Mar 2024 05:16PM
SINGAPURA: Pengunjung Rumah Terbuka Akademi Penerbangan Singapura (SAA) berpeluang untuk menyaksikan latihan bagi pengawal trafik udara dan pegawai bomba lapangan terbang.

Selain dua lawatan berpandu percuma, orang awam boleh menyertai pelbagai permainan interaktif, umum Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada Isnin (4 Mac).

Acara tiga hari itu yang dianjurkan oleh cabang latihan CAAS dengan tema "meneroka, melalui pengalaman dan bermain", akan berlangsung dari 7 hingga 9 Mac. Ia akan dibuka kepada pengunjung dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang di 1 Aviation Drive.

LAKUKAN PRAPENDAFTARAN ONLINE

Lawatan berpandu Simulator Kawalan Trafik Udara akan memberi pengunjung maklumat lanjut tentang peranan penting yang dimainkan oleh Sekolah Perkhidmatan Trafik Udara.

Lawatan berpandu kedua pula akan memberi pengunjung peluang untuk menyaksikan latihan yang dijalani pegawai bomba lapangan terbang menerusi beberapa aktiviti dan simulator. Ini termasuk menembak sasaran, simulator alat pernafasan dan pameran kereta bomba buih.

Disebabkan tempat yang terhad, CAAS menyatakan para pengunjung harus mendaftar awal secara online untuk mendapatkan sesi pilihan mereka. Sebarang lawatan tanpa pendaftaran akan dipertimbangkan berdasarkan kesediaan tempat.

AKTIVITI MESRA KELUARGA

Selain lawatan berpandu, rumah terbuka itu akan menampilkan pelbagai permainan dan aktiviti.

Ini termasuk sudut kegiatan kanak-kanak, cabaran mendarat pesawat kawalan trafik udara, dron dan sebuah meja LEGO yang dipasang tanjakan untuk mencuba memandu kereta bomba yang dibina oleh pengunjung.

Orang awam juga dapat mempelajari tentang sejarah SAA sebagai perintis bagi latihan penerbangan, serta meneroka bagaimana CAAS sedang merubah Singapura sebagai hab udara selepas pandemik COVID-19.

Pengarah SAA, Cik Charmain Liu berkata bahawa rumah terbuka tersebut dalah "peluang unik" bagi peminat penerbangan tidak kira umur untuk mempelajari sejarah akademi itu, dan sumbangan Singapura kepada sektor penerbangan antarabangsa.

TRANSFORMASI SAA

Rumah terbuka itu diadakan sebelum SAA menutup premis yang digunakannya pada April bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan bernilai S$120 juta.

Akademi baharu tersebut akan dibuka semula dalam dua tahun akan datang dengan 20 peratus kapasiti latihan tambahan.

Ia akan menggabungkan pembelajaran baharu dan ruang awam di lokasi tersebut. CAAS menambah bahawa pengunjung dapat mempelajari lebih banyak tentang apa yang ditawarkan SAA baharu di rumah terbuka tersebut.

CAAS menyatakan akademinya akan terus menawarkan program latihan di hotel dan tempat persidangan lain di Singapura serta luar negara sedang transformasi tersebut dijalankan.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita