Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Latihan Northstar pamer kerjasama berbilang agensi tangani ancaman pengganasan

Rakyat perlu bersatu dalam menghadapi ancaman pengganasan kerana ia boleh memecah belahkan masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Rakyat perlu bersatu dalam menghadapi ancaman pengganasan kerana ia boleh memecah belahkan masyarakat.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong menekankan demikian semasa menyaksikan latihan bersepadu Exercise Northstar pada Rabu (22 Mac).

Latihan besar-besaran yang menggabungkan pasukan-pasukan pertahanan negara kembali diadakan selepas enam tahun.

Ia mempamerkan tahap kesediaan dan tindak balas negara dalam insiden kecemasan.

Ini di samping meningkatkan kesedaran masyarakat tentang ancaman pengganasan.

Exercise Northstar tahun ini diadakan di Pulau Jurong, iaitu antara hab eksport kimia yang terbesar di dunia.

Ia dihadiri Perdana Menteri Lee Hsien Loong, bersama beberapa menteri lain termasuk Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Menteri Undang-undang, K Shanmugam, Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Teo Chee Hean, Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Josephine Teo dan Menteri Negara Kanan Pertahanan Zaqy Mohamad.

Tepat pada jam 3 petang, latihan bermula dengan senario sekumpulan individu radikal cuba melarikan diri selepas meletakkan beberapa objek peranti letupan (IED) di tangki-tangki minyak dan laluan paip kimia di Pulau Jurong.

Dengan teknologi dan keupayaan canggih, tindakan mereka itu berjaya dikesan dengan pantas oleh Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) untuk menangkap dan meredakan keadaan.

Namun letupan IED tersebut telah menyebabkan sebahagian paip pecah dan ramai yang tercedera akibat terhidu gas klorin.

Dalam senario ini, SCDF bekerjasama dengan rakan-rakan kerja lain termasuk Kementerian Kesihatan (MOH) untuk merawat para mangsa sebelum mereka dihantar ke hospital.

(Gambar: SCDF)

Selain itu, SCDF juga bekerjasama dengan syarikat ExxonMobil untuk memadamkan kebakaran di dua tangki minyak besar.

PM Lee berkata, beliau berbangga dengan kerjasama yang ditunjukkan oleh semua pihak dan mengalu-alukan orang ramai untuk memainkan peranan mereka.

"Kamu perlu bekerjasama antara satu sama lain di Singapura supaya kita boleh mengerahkan sumber kami untuk menangani sesuatu masalah. Dan kita juga perlu bersatu sepenuhnya sebagai sebuah masyarakat kerana ancaman keganasan bukan sahaja seseorang yang tercedera atau tangki simpanan minyak yang diletupkan, tetapi keretakan dalam masyarakat mengambil masa yang sangat lama untuk pulih. Dan kita mesti jangan biarkan keretakan itu berlaku kepada kita dan saya gembira latihan ini telah berjalan dengan lancar. Saya mengharapkan untuk melihat Exercise North ke-12 dalam beberapa tahun akan datang," kata PM Lee.

PERLU AMBIL SERIUS LATIHAN

PM Lee menambah, Singapura memandang serius latihan sedemikian untuk menangani pelbagai ancaman pengganasan.

(Gambar: SCDF)

"Terdapat beberapa kegiatan di rantau sekeliling kita. Kita lihat di Timur Tengah atau di bahagian dunia yang lain - terdapat kumpulan yang kekal di sana dan kita berada di dalam radar.

"Dan kadang-kadang, kita juga mempunyai individu yang radikal sendiri, disalah bimbing. Kita cuba sedaya upaya kita dan kita beruntung kerana berjaya menangkap mereka sebelum mereka boleh melakukan sebarang kecederaan. Namun satu hari nanti, mungkin kita tidak beruntung seperti itu," tambah PM Lee.

Kali terakhir latihan itu diadakan adalah pada 2017 di Lapangan Terbang Changi.

Perancangan untuk latihan tahun ini bermula sejak dua tahun lalu.

Kawasan seluas 3,000 hektar di Pulau Jurong yang terletak di bahagian barat daya Singapura menempatkan lebih 100 syarikat tenaga dan kimia.

Latihan tahun ini juga melibatkan lebih 300 kakitangan dari agensi-agensi dan pihak-pihak berkepentingan termasuk SCDF, SPF, SAF, ExxonMobil, Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) dan Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX).

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan