Latihan luar negara SAF pada skala lebih luas dalam kawasan 80 kali besar daripada S'pura
Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) akan meningkatkan skala dan kesulitan sesetengah latihannya di luar negara dengan kawasan-kawasan latihan baru dan lebih luas dijangka siap sebelum hujung dekad ini.
Tentera SAF di Queensland, Australia.
SINGAPURA: Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) akan meningkatkan skala dan kesulitan sesetengah latihannya di luar negara dengan kawasan-kawasan latihan baru dan lebih luas dijangka siap sebelum hujung dekad ini.
"Dalam landskap yang tidak menentu, kita harus meningkatkan, melatih dan mengekalkan unit dalam SAF untuk menangani kedua-dua ancaman biasa dan luar biasa," kata Menteri Pertahanan Ng Eng Hen semasa perbahasanJawatankuasa Perbekalan kementeriannya pada Isnin (2 Mac).
"Bagi operasi-operasi konvensional, SAF menyasarkan untuk mempunyai kemudahan latihan terbaik di dunia."
Salah satu kemudahan tersebut adalah Kawasan Latihan Shoalwater Bay (SWBTA) diperluaskan di Australia, yang akan siap dibina pada 2024.
SWBTA akan digabungkan dengan Kawasan Latihan Greenvale yang baru, dijangka siap pada 2028, untuk membentuk satu kawasan 10 kali lebih besar daripada Singapura. Tempat itu membolehkan latihan dijalankan bagi sehingga 14,000 askar dan 2,400 kenderaan sepanjang 18 minggu dalam setahun.
Buat masa ini, sekitar 4,000 askar dihantar ke Australia setiap tahun untuk menjalani latihan di SWBTA, yang besarnya kira-kira tiga kali saiz Singapura.
Kawasan latihan gabungan yang baru itu akan meliputi kemudahan yang membolehkan SAF menjalankan gabungan tembakan secara langsung di udara dan darat pada skala besar.
Kawasan latihan lebih besar itu diadakan selepas Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengumumkan rancangan peluasan pada 2016 menyusuli pemeteraian Kerjasama Strategik Menyeluruh bersama Australia sekali gus meningkatkan hubungan dan membolehkan tentera Singapura untuk berlatih di Australia selama 25 tahun.
Satu lagi kemudahan latihan yang sedang dibangunkan adalah kemudahan latihan jet pejuang di Guam, dijangka siap selewat-lewatnya pada 2029. Singapura akan mengerahkan jet-jet pejuang F-15SG dan F-16 dan menyokong aset dalam ruang udara yang 80 kali lebih besar daripada saiz Singapura, lantas membolehkan latihan tembakan langsung yang lebih berskala besar dan rumit.
Dr Ng juga memberikan kemas kini tentang pembelian empat jet pejuang F-35B oleh Singapura, dengan pilihan bagi lapan lagi jet serupa, bagi digunakan untuk latihan dan penilaian mendalam.
Beliau berkata MINDEF sedang dalam peringkat akhir pembelian itu setelah menerima lampu hijau daripada pemerintah dan Kongres Amerika Syarikat sambil menambah bahawa beliau berharap penghantaran jet-jet itu akan dibuat sekitar 2026.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.