Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Latihan kesediaan kecemasan di MRT Bugis pada 6 Jun; jangkakan masa perjalanan tambahan

Anggaran Waktu Membaca:
Latihan kesediaan kecemasan di MRT Bugis pada 6 Jun; jangkakan masa perjalanan tambahan

(Gambar fail: Ahmad Khan)

Diterbitkan : 31 May 2022 06:04PM Dikemas Kini : 31 May 2022 06:53PM

SINGAPURA: Para penumpang yang bakal membuat perjalanan menaiki kereta api di stesen MRT Bugis pada Isnin depan (6 Jun) dinasihatkan supaya mengambil kira masa perjalanan tambahan disebabkan oleh latihan kesediaan kecemasan. 

Latihan Station Guard, berlangsung dari pukul 10.00 pagi hingga 4.00 petang, akan dijalankan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), SBS Transit dan SMRT Trains. 

Latihan tersebut bertujuan untuk memperketatkan keselamatan di tempat-tempat awam dan ia adalah sebahagian daripada gerakan kebangsaan SGSecure untuk memupuk daya bingkas dalam kalangan masyarakat terhadap ancaman keselamatan, terutama sekali serangan pengganas.

Demikian menurut penguasa-penguasa itu dalam satu kenyataan media pada Selasa (31 Mei). 

Latihan tersebut juga bertujuan meningkatkan kesedaran orang awam terhadap ancaman-ancaman keselamatan yang dihadapi Singapura dan membiasakan para penumpang dengan bagaimana mereka harus bertindak balas sekiranya berlaku kecemasan di rangkaian pengangkutan awam, tambah pihak-pihak berkuasa itu.  

"Semasa latihan itu, penumpang yang memasuki stesen Bugis dan menuju ke platform Laluan Timur-Barat (EWL) akan diarahkan ke gerbang tambang berdekatan pintu-pintu keluar B dan C, manakala para penumpang yang menghala ke Laluan Downtown (DTL) akan diarahkan ke gerbang tambang berhampiran pintu-pintu keluar E dan F." 

Justeru, para penumpang dinasihatkan supaya mengambil kira masa perjalanan tambahan untuk menjalani pemeriksaan keselamatan sepanjang tempoh latihan tersebut. Ini kerana sesetengah penumpang mungkin diminta untuk melalui pemeriksaan alat pengesan logam dan meletakkan barangan mereka untuk diimbas mesin X-ray. 

Mereka yang membawa barangan besar mungkin memerlukan lebih banyak masa untuk pemeriksaan tersebut, menurut penguasa-penguasa itu.  

Para penumpang juga mesti sentiasa memakai pelitup semasa menjalani pemeriksaan keselamatan, selaras dengan peraturan sedia ada apabila menaiki pengangkutan awam. 

LTA dan para pengendali pengangkutan awam Singapura sudahpun menjalankan Latihan Station Guard secara berkala sejak Februari 2018. 

Latihan sedemikian dilaksanakan seiring dengan usaha pendidikan awam, seperti kempen “See Something, Say Something”, yang menggalakkan para penumpang untuk membuat aduan mengenai barangan, orang mahupun aktiviti yang mencurigakan di pengangkutan awam. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan