Skip to main content

Singapura

Latihan kecemasan diadakan di East Coast; diperlukan lagi 500 sukarelawan pasukan CERT

Anggaran Waktu Membaca:
Latihan kecemasan diadakan di East Coast; diperlukan lagi 500 sukarelawan pasukan CERT

(Gambar: CNA/Mak Jia Kee)

Diterbitkan : 24 Feb 2025 09:55AM Dikemas Kini : 24 Feb 2025 09:56AM
SINGAPURA: Pejabat Pengarah Kumpulan Kawasan Undi East Coast pada Ahad (23 Feb) mengumumkan matlamatnya untuk menggandakan jumlah responden kecemasan dalam kalangan masyarakat.

Dalam satu latihan kecemasan yang diadakan di stesen MRT Bayshore, pejabat East Coast menyatakan ia merancang untuk merekrut 500 lagi orang dalam kawasan undi tersebut, untuk menjadi Pasukan Respons Kecemasan Masyarakat (CERT), Persatuan Rakyat (PA).

Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) East Coast kini mempunyai 300 sukarelawan CERT PA, dan berharap untuk mencapai sasaran 800 anggota dalam tempoh dua tahun akan datang.

Beberapa sukarelawan itu terlibat dalam latihan 'kebakaran' di stesen MRT Bayshore.

Anggota pasukan respons bertindak dengan membantu penumpang keluar dari kawasan kebakaran dan menolong seorang lelaki yang terjatuh dan tidak boleh bergerak.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) kemudian tiba untuk memadamkan api dan memberi bantuan perubatan kepada mereka yang memerlukannya.

Latihan di stesen MRT Bayshore itu yang pertama diadakan sejak ia dibuka pada pertengahan 2024.

Bahagian kedua latihan, pula melibatkan sukarelawan memberi rawatan kepada orang awam termasuk membalut luka mereka yang cedera dan membantu seorang lelaki yang mengalami serangan jantung.

Anggota CERT PA dilatih untuk memberi bantuan pernafasan (CPR) dan menggunakan Defibrilator Luaran Automatik (AED).

Anggota yang aktif menghadiri kursus kecemasan lain supaya dapat menjalankan tugas mereka jika perlu.

Bercakap di acara tersebut, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat, yang juga penasihat badan-badan akar umbi GRC East Coast, menekankan peri pentingnya bersedia menghadapi kecemasan.

"Keupayaan kita untuk bertindak cepat, memastikan kesan krisis dapat dikawal, menyelamatkan nyawa, melindungi harta benda, jadi sangat penting untuk tingkatkan daya tangkas kita," kata Encik Heng.

"Kita sangat beruntung kerana keharmonian dan tahap kesediaan kita selama ini membolehkan penduduk mengekalkan keselamatan di Singapura," tambahnya.

Turut hadir di acara tersebut termasuk penasihat pertubuhan akar umbi GRC East Coast, Menteri Negara Kanan Tan Kiat How, Cik Jessica Tan dan Cik Cheryl Chan.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita