Latihan fizikal tambahan SAF perlu ikut garis panduan: Ng Eng Hen
Hukuman tidak formal dalam bentuk latihan fizikal tambahan dibenarkan dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), asalkan ia mematuhi garis pandu yang ditetapkan dan berdasarkan tahap pangkat pegawai.
SINGAPURA: Hukuman tidak formal dalam bentuk latihan fizikal tambahan dibenarkan dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), asalkan ia mematuhi garis pandu yang ditetapkan dan berdasarkan tahap pangkat pegawai.
Demikian menurut Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen ketika menjawab soalan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dari Parti Pekerja, Dennis Tan, yang bertanya sama ada sebarang bentuk penderaan atau 'ragging' dibenarkan di SAF.
"Latihan fizikal tambahan sebagai hukuman tidak formal hanya boleh dilaksanakan mengikut garis pandu dan berdasarkan tahap pangkat komander seperti yang diperuntukkan dalam Direktif Tenaga Manusia Bersama SAF (4-4) berkenaan Sistem Hukuman Tidak Formal," kata Dr Ng di Parlimen pada Selasa (10 Jul).
"Bagi semua aktiviti, keselamatan setiap askar paling utama dan para komander perlu mengambil langkah pembetulan bagi mengurangkan risiko terhadap askar mereka jika perlu."
"Walaupun latihan ketenteraan bertujuan membina daya tahan fizikal dan psikologi askar, keselamatan mereka tidak perlu dikompromi," kata Dr Ng lagi.
"Tindakan yang menjatuhkan maruah khususnya tidak dibenarkan."
Dr Ng menegaskan bahawa anggota SAF yang menjalankan aktiviti yang tidak dibenarkan, melakukan pembulian atau dengan sengaja mahupun tidak sengaja tidak mematuhi peraturan keselamatan latihan "telah dan akan terus ditangani dengan tegas".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.