Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

#LastKopekRayaFest 'rumah terbuka' terakhir Taman Warisan Melayu sebelum ditutup

Taman Warisan Melayu (MHC) mengajak orang ramai ke acara tahunan rumah terbuka Hari Rayanya pada hujung minggu ini (27 - 29 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Taman Warisan Melayu (MHC) mengajak orang ramai ke acara tahunan rumah terbuka Hari Rayanya pada hujung minggu ini (27 - 29 Mei).

Acara #LastKopekRayaFest adalah acara terakhir yang diadakan secara fizikal sebelum MHC menjalani kerja-kerja pengubahsuaian menjelang akhir tahun ini.

Buat julung-julung kalinya, 20 penari baru dan lama digabungkan untuk satu persembahan yang dinamakan Riang Ria Raya.

mhc
(Gambar: Syawal Yusoff/BERITAmediacorp)

Persembahan selama 30 minit itu menampilkan para penari dari dua kumpulan tarian Melayu - DIAN Dancers dan Mak Mak Menari (M3)

Presiden DIAN Dancers, Dr Noramin Farid berkata beliau amat teruja kerana ia juga merupakan kali pertama kedua-dua kumpulan bekerjasama.

"Kita melihat bahawa kedua-dua kumpulan akan cuba mempelajari repertoir masing-masing dan dari situ juga kita lihat satu kolaborasi antara generasi," kata Dr Noramin.

"Saya rasa ini penting kerana ibu-ibu (dari M3) yang menari ini sudah berpengalaman dan melalui proses latihan, kita dapat melihat bagaimana adik-adik (dari DIAN Dancers) dapat mengenali tarian Melayu dengan lebih mendalam," kata Dr Noramin.

Riang Ria Raya akan dipentaskan pada 8.30 malam dan 9.30 malam pada Sabtu (28 Mei).

Sepanjang tiga hari, lebih 10 acara bakal diadakan secara online dan fizikal.

Ini termasuk sesi-sesi bercerita 'Kisah Raya Ramdan' oleh personaliti tempatan Cik Rilla Melati yang akan dikendalikan dalam Bahasa Inggeris dan juga Bahasa Melayu.

Menurut Pengurus Besar MHC, Cik Asmah Alias, acara tahun ini memberi peluang kepada MHC bekerjasama dengan badan-badan yang telah banyak menyumbang kepada taman warisan itu serta membuka pintu untuk kumpulan-kumpulan baru.

"Kami berharap yang kumpulan-kumpulan baru ini dapat menarik juga pengunjung baru ke sini untuk melihat pameran kami dan sama-sama menyertai acara-acara kami sebelum kami tutup pada hujung tahun nanti," kata Cik Asmah.

Menurutnya, MHC akan ditutup Oktober ini untuk kerja-kerja ubah suai.

BERI PENGHARGAAN KEPADA KUMPULAN SENI HADRAH TEMPATAN

Dalam pada itu, MHC turut memberi penghargaan kepada kumpulan-kumpulan mapan seperti Firqatul Wannazam 1921 yang memperjuangkan muzik hadrah di Singapura selama lebih 100 tahun.

fadilah

"Saya berasa bersyukur kerana kumpulan ini masih wujud sehingga sekarang. Siapa lagi hendak aktif sehingga 100 tahun dengan kumpulan macam ini?" ujar Naib Penasihat kumpulan itu, Cik Fadilah Hj Othman.

Kumpulan yang kaya dengan sejarah itu juga pernah terlibat dalam filem-filem P. Ramlee satu masa dahulu seperti Madu Tiga dan Laila Majnun.

Ia akan ditampilkan sebagai antara persembahan pembukaan semasa acara pelancaran #LastKopekRayaFest yang berlangsung pada Jumaat (27 Mei) ini.

Menueut Cik Fadilah, tiga buah lagu berunsur hadrah tradisional dan moden bakal dipersembahkan.

"Lagu pertama adalah lagu Musafir Di Aidilfitri, kedua ialah lagu wajib kumpulan hadrah, Allah Yaman dan ketiga adalah lagu Hari Raya baru yang popular sekarang. Nak tahu? Kena datanglah," kata Cik Fadilah, sambil selorohnya.

Orang ramai juga berpeluang membawa pulang cenderamata hasil kreativiti mereka menerusi dua aktiviti kraftangan - sampul duit raya dengan teknik 'die-cut' yang dikendalikan syarikat Senikraf dan pencetakan blok kayu oleh Lokka Lekkr Makers Studio.

"Kita akan mengadakan aktiviti bengkel kraftangan pencetakan blok kayu di atas kantung fabrik dengan menggunakan motif-motif yang menggunakan koleksi kekal daripada Taman Warisan Melayu," kata kurator studio Lokka Lekkr, Cik Yenni Ng.
 

mhc
(Gambar: Syawal Yusoff/BERITAmediacorp)

Motif-motif yang dimaksudkan Cik Ng termasuk corak selendang yang dipakai oleh Puan Noor Aishah dan juga 'ingot' timah yang dipaparkan dalam pameran 'Cerita' MHC.

Di pekarangan MHC pula terdapat lapan panel yang menampilkan lukisan wanita-wanita Melayu yang mengenakan busana Melayu hasil pereka Hafizah Jainal.

mhc

Panel-panel setinggi 2.5 meter itu mempunyai elemen interaktif menggunakan imbasan kod QR.

Ia diilhamkan daripada muka depan majalah fesyen zaman 50an hingga 60an.

Orang ramai masih boleh mendaftar untuk menghadiri majlis pelancaran yang berlangsung pada Jumaat ini di lelaman berikut: https://malayheritagecentre.peatix.com/

#LastKopekRayaFest berlangsung mulai Jumaat hingga Ahad ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan