Larikan diri ketika pemeriksaan polis trafik; heret pegawai ke tengah-tengah CTE
Gambar Hiasan, seorang pegawai polis trafik. Gambar: Jeremy Long
SINGAPURA: Seorang lelaki melarikan diri dalam kenderaannya di tengah-tengah pemeriksaan Polis Trafik ketika seorang pegawai memegang stereng keretanya pada waktu sibuk sebelah pagi tahun lalu.
Pegawai itu diheret sejauh 75 meter oleh kereta yang bergerak itu. Beliau kemudian tercampak ke tengah-tengah Ekspreswe Central (CTE) di mana beliau tergolek sehingga terhenti di hadapan tiga laluan trafik.
Heng Yong Qin, 32 tahun, pada Selasa (8 Mac) dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun dan 36 hari serta 3 sebatan rotan selepas mengaku bersalah dengan sengaja menyebabkan kecederaan untuk menghalang seorang penjawat awam daripada menjalankan tugasnya.
Dia dikenakan hukuman tambahan 44 hari kerana melakukan kesalahan itu semasa di bawah perintah pengampunan.
Heng juga mengaku bersalah atas dua tuduhan melanggar perintah perintah berkurung di bawah perintah pengampunan pada September dan Oktober 2020 serta mengambil methamphetamine sekitar Mac 2021.
Pada 27 Mac 2021, mangsa - seorang staf sarjan kanan Pasukan Polis Singapura (SPF) - sedang memandu di CTE menuju ke Ekspreswe Ayer Rajah (AYE) sekitar jam 7.30 pagi apabila beliau ternampak Heng memandu keretanya tanpa memakai tali pinggang keledar.
Pegawai itu memberi isyarat kepada Heng untuk berhenti di bahu jalan raya. Beliau kemudian meletakkan motosikalnya di belakang kereta Heng.
Pegawai itu memberi isyarat kepada Heng supaya keluar dari keretanya namun dia tidak mengendahkan arahan beliau dan terus duduk di dalam kereta.
Pegawai itu memeriksa lesen Heng dan mendapati dia dikehendaki oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) kerana gagal melaporkan diri untuk ujian air kencingnya.
Heng kemudian memutuskan untuk melarikan diri dan bergegas ke arah tempat duduk pemandu, menurut dokumen mahkamah. Pegawai berkenaan cuba menahan Heng tetapi dia berjaya melepaskan diri, memasuki kereta dan menghidupkan enjin.
Mengetahui bahawa Heng berniat untuk melarikan diri dari tempat kejadian, pegawai berkenaan menggenggam lengan Heng dengan tangan kirinya sementara tangan kanannya berpegang pada stereng kereta.
Di mahkamah, pihak pendakwa memainkan rakaman video insiden itu yang menunjukkan pegawai polis berkenaan tercampak di tengah-tengah CTE yang ketika itu sedang sibuk dengan banyak kenderaan termasuk lori.
Menurut dokumen mahkamah, selepas Heng melihat pegawai trafik polis itu jatuh di atas jalan raya, dia menekan minyak lalu memecut dan meninggalkan tempat kejadian.
Timbalan Pendakwa Raya, Phoebe Tan meminta hukuman penjara antara enam tahun dan 36 hari dengan enam tahun, sembilan bulan dan 74 hari, dengan tiga sebatan rotan.
Beliau berkata insiden itu "bersifat kebetulan" kerana tiada kenderaan yang merempuh mangsa ketika beliau terbaring di atas jalan raya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.