Skip to main content

Singapura

Larangan jual beli memerang dijangka berkuat kuasa hujung tahun ini

Memerang yang ditemui di Singapura dan di seluruh rantau ini akan mendapat lebih banyak perlindungan apabila satu larangan jual beli dua jenis haiwan itu dijangka berkuat kuasa pada hujung 2019.

Anggaran Waktu Membaca:
Larangan jual beli memerang dijangka berkuat kuasa hujung tahun ini
Diterbitkan : 01 Sep 2019 09:03PM Dikemas Kini : 01 Sep 2019 09:06PM

SINGAPURA: Memerang yang ditemui di Singapura dan di seluruh rantau ini akan mendapat lebih banyak perlindungan apabila satu larangan jual beli dua jenis haiwan itu dijangka berkuat kuasa pada hujung 2019.

Minggu ini, beberapa negara sudahpun mengundi untuk meletakkan memerang ke dalam senarai spesies haiwan paling terancam Konvensyen mengenai Perdagangan Antarabangsa dalam Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES).

Pakar-pakar memberitahu Mediacorp, langkah itu akan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang ancaman yang dihadapi memerang selain meningkatkan usaha melindunginya.

Gambar-gambar comel memerang yang dimuat naik di media sosial dipercayai menyumbang kepada kenaikan permintaan baginya sebagai haiwan peliharaan.

Menurut laporan rangkaian pemantauan haiwan liar, TRAFFIC, pihaknya menemui 500 iklan online berkaitan memerang dari Asia Tenggara sepanjang tempoh empat bulan tahun lalu.

Hampir 1,000 ekor memerang secara purata pula dijual setiap bulan.

Di Singapura, memerang menghadapi ancaman daripada pergerakan kenderaan atau mata kail.

Undang-undang di Singapura melarang haiwan liar diambil atau disimpan tanpa lesen. Namun, ini tidak bermakna Singapura terlepas daripada kegiatan dagangan haiwan liar secara haram.

Pakar-pakar yang ditemui Mediacorp berkata larangan menjual beli memerang akan dapat meningkatkan kesedaran terhadap perlindungan haiwan tersebut dan mendidik orang ramai tentang bagaimana mereka dapat membantu.

Pakar-pakar juga berkata terdapat risiko kehilangan habitat memerang jika Singapura membina tembok laut atau meneruskan rancangan untuk menambak tanah bagi menangani kenaikan paras air laut.

Langkah-langkah itu perlu diimbangi dengan projek-projek pemuliharaan seperti penanaman semula pokok-pokok bakau bagi memastikan penakatan memerang 

Sumber : CNA/HA/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita