Larangan e-skuter: Kebanyakan sudah mohon geran tukar beli, sebilangan lain belum beralih
Sebilangan pengguna e-skuter masih belum beralih kepada penggunaan basikal atau e-basikal, dan memberitahu Mediacorp mereka akan terus menggunakan e-skuter mereka untuk menghantar makanan.

Penghantar makanan GrabFood Nicholas Heng dengan e-basikal barunya pada 9 Jan 2020 (Gambar: Jun Yuan Yong/TODAY)
SINGAPURA: Ketiga-tiga syarikat penghantaran makanan di sini — Deliveroo, Foodpanda and GrabFood — sudah berhenti mengambil pekerja penghantar makanan yang menggunakan e-skuter. Ketiga-tiga syarikat menambah kebanyakan pengguna e-skuter mereka sudah berjaya memohon geran untuk beralih ke basikal elektrik atau basikal biasa.
Sebilangan daripada mereka bagaimanapun masih belum beralih dan memberitahu Mediacorp mereka akan terus menggunakan e-skuter mereka untuk menghantar makanan.
Ini meskipun dua syarikat - Deliveroo dan Fodopanda - sudahpun menyekat pengguna e-skuter daripada menerima pesanan makanan.
Sebab utama enggan beralih? Mereka tidak mahu meletakkan diri mereka dalam bahaya dengan menunggang e-basikal di jalan raya, dan sanggup mengambil risiko demi mencari nafkah.
'LALUAN PEJALAN KAKI LAGI SELAMAT DARI JALAN RAYA'
Penghantar makanan sepenuh masa Kelvin Ho masih menggunakan e-skuter bagi khidmat penghantarannya, namun hanya berbuat demikian di laluan penghubung taman dan laluan basikal. Beliau berkata kawasan penghantarannya di Jurong terdapat banyak kemudahan tersebut.
Pemilik e-skuter boleh menukar beli alat mereka bagi geran sehingga S$600 untuk membeli basikal biasa atau sehingga S$1,000 bagi e-basikal, sebagai sebahagian daripada skim pemerintah untuk membantu pekerja penghantar makanan yang terjejas.
Namun pembayaran semula itu tidak cukup menarik bagi Encik Ho, yang membelanjakan sekitar S$2,000 untuk membeli e-skuternya.
"Tidak bermakna untuk saya menukar kepada basikal atau e-basikal. Saya tidak mahu (sebarang kemalangan) berlaku lagi dan kemudian akan ada penukaran undang-undang," katanya.
Masih ada juga pekerja penghantaran yang masih terus melanggar undang-undang meskipun larangan penggunaan e-skuter di laluan pejalan kaki dikuat kuasa lebih tegas sejak permulaan tahun ini.
Seorang penghantar makanan separuh masa, yang hanya ingin dikenali sebagai Javier, berkata beliau masih menggunakan laluan pejalan kaki kerana ia kurang berbahaya berbanding berkongsi jalan raya dengan kenderaan.
"Berkongsi laluan dengan kenderaan bermotor, berkemungkinan mereka akan memintas anda kerana e-basikal ada had kelajuan 25km/sejam, jadi sangat berbahaya," kata belia 21 tahun itu.
Baru Ahad lalu (5 Jan), seorang penunggang e-basikal berusia 69 tahun meninggal dunia dalam kemalangan di Cantonment Road. Siasatan polis masih dijalankan.
Bagi Javier, beliau sedang menabung untuk mendapatkan lesen motorsikal. Beliau menambah, e-basikal juga agak mahal dan kosnya menjangkaui geran S$1,000, maka itu tidak berbaloi untuk beliau menokok baki jumlah dan pada masa yang sama kehilangan PMD miliknya.
PENGGUNA E-SKUTER DISEKAT DARI APP
Sejak tarikh akhir 31 Disember bagi permohonan geran, 25 peratus penghantar makanan Deliveroo dan 75 peratus bagi Foodpanda sudah membuat permohonan.
Tujuh daripada setiap 10 permohonan sudah diluluskan bagi Foodpanda, yang sejak pertengahan Disember sudah berhenti memberikan tugasan penghantaran bagi penghantar makanan yang menggunakan e-skuter.
Deliveroo pula menyekat pengguna PMD daripada menggunakan platformnya sejak 1 Jan, dan menyatakan kebanyakan permohonan geran oleh para penghantarnya sudah diluluskan.
Meskipun ia sudah berhenti menerima khidmat pengguna e-skuter, GrabFood belum mengharamkan mereka daripada platformnya dan sebaliknya sedang memantau bagi sebarang maklum balas.
"Kami menerima maklum balas daripada penghantar makanan bahawa semakin sukar untuk menghantar makanan menggunakan e-skuter," kata seorang jurucakap Grab. "Kami akan menyemak sama ada kenderaan ini kekal sebagai cara penghantaran yang mampan."
GrabFood sudah melanjutkan tarikh akhir permohonan geran ke 14 Januari. Setakat Rabu, ia mencatat 65 peratus pengguna e-skuter yang layak membuat permohonan. Dalam kalangan ini, sekurang-kurangny 90 peratus sudah diluluskan dan 23 peratus yang memohon sudah selesai buat tuntutan masing-masing.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.