Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Laporan SG50: Kedai gunting rambut bertahan 40 tahun tanpa ditelan masa

Dengan perubahan demografi, saingan dari gedung beli-belah dan penduduk yang lebih mewah, bagaimanakah perniagaan-perniagaan kejiranan terus bertahan? 

Anggaran Waktu Membaca:
02:00 Min
Encik Hamzah Khairuman sudah mengusahakan kedai gunting rambutnya di Toa Payoh sejak 1971.
Diterbitkan : 09 Mar 2015 09:11PM Dikemas Kini : 10 Mar 2015 02:28PM

SINGAPURA: Kedai-kedai kejiranan merupakan sebahagian daripada pelan penempatan semula HDB apabila mula membangunkan perumahan awam pada tahun-tahun 1960an.

Ini bagi menempatkan semula pekedai dari kampung-kampung selain menyediakan kemudahan bagi para penduduk.

Namun dengan perubahan demografi, saingan dari gedung beli-belah dan penduduk yang lebih mewah, bagaimanakah perniagaan-perniagaan kejiranan terus bertahan?

Kedai-kedai kejiranan menawarkan pelbagai perkhidmatan atau barangan.  Ia adalah bahagian penting kehidupan di kejiranan HDB.

Encik Hamzah Khairuman, sudah mengusahakan kedai gunting rambutnya, Bugs Bunny Barber Shop, di Toa Payoh sejak 1971.

"Pada waktu dulu, tahun 1971 atau 1972, harga khidmat kami $1 untuk dewasa dan 70 sen untuk kanak-kanak," ujarnya.

Perniagaan yang sudah mencecah lebih empat dekad itu dimanfaatkan oleh pelanggan pelbagai generasi.

Encik Hamzah berkata: "Selalunya pelanggan di sini semua pelanggan lama-lama, 20 atau 30 tahun dulu. Ada yang dari kecil sampai besar, sudah berkahwin, bawa anak mereka ke sini."

Demi menyesuaikan dengan permintaan pelanggan zaman sekarang, Encik Hamzah perlu membuat beberapa perubahan, seperti memasang alat hawa dingin serta menggunakan peralatan moden.

Ini bagi memastikan perniagaannya kekal relevan dan bersaing pada zaman sekarang.

Encik Hamzah menceritakan: "Pernah sekali, bila pakai alat pengering rambut itu, tak pandai sangat. Jadi pakai alat pengering rambut dengan sikat plastik. Panas, panas sekali sikat dia cair, melekat di rambut.

"Masalahnya, orang marahlah kan tapi dia pun faham, pelanggan biasa."

Yang jelas, perniagaan seperti yang diusahakan Encik Hamzah itulah yang mewarnai fabrik masyarakat dan menghidupkan kehidupan di kejiranan HDB.  

Sumber : CNA/nd

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa