Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Laporan polis dibuat selepas empat remaja dikatakan masuk Night Safari selepas waktu operasi

Anggaran Waktu Membaca:
Laporan polis dibuat selepas empat remaja dikatakan masuk Night Safari selepas waktu operasi

(Gambar: Tangkapan skrin video di TikTok)

Diterbitkan : 03 Jan 2023 05:15PM Dikemas Kini : 03 Jan 2023 05:57PM

SINGAPURA: Satu laporan polis dibuat selepas empat remaja dilihat dalam video TikTok, yang dikatakan memasuki Night Safari dan kandang haiwannya selepas waktu operasi.

Video itu tular sejak ia dimuat naik pada lewat Oktober. 

Kumpulan Hidupan Liar, Mandai Wildlife Group yang menguruskan Night Safari, menyatakan ia sudah membuat laporan polis pada Disember. 

"Mandai Wildlife Group mengikuti insiden tersebut sejak video itu pertama kali dimuat naik dan membuat pemeriksaan dalaman berhubung isu berkenaan sebelum membuat aduan polis pada Disember," menurutnya sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp pada Selasa (3 Jan). 

"Perbuatan menceroboh dan niat untuk tidak menghormati atau membahayakan haiwan di bawah jagaan kami dipandang serius dan kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan." 

Polis menyatakan pihaknya sedang menyiasat kejadian itu.

Video di TikTok berkenaan menunjukkan empat remaja membeli minuman keras sebelum menuju ke Night Safari. Ia diiringi kapsyen "Kami mabuk dan memasuki safari haiwan di Singapura." 

Satu lagi kapsyen berbunyi: "2.00 pagi. Jonny lompat dari trem."

Masih tidak jelas bagaimana mereka dapat memasuki Night Safari, yang dibuka setiap hari dari pukul 6.30 petang hingga 12.00 tengah malam. 

Salah seorang remaja dalam video itu dilihat mengusap seekor haiwan. Seorang lagi lelaki dalam kumpulan tersebut dirakam cuba memanjat batu di taman tersebut. 

"Kebajikan haiwan yang dipaparkan dalam video tersebut merupakan keutamaan kami apabila video itu mula tular, dan haiwan-haiwan itu dalam keadaan baik," kata Mandai Wildlife Group. 

"Sebelum operasi tamat, kami memeriksa taman untuk memastikan semua pengunjung sudah keluar dari premis kami. Kami juga akan memastikan bahawa haiwan di bawah jagaan kami sudah masuk kandang sebelum menutup kawasan rehat di luar kawasan kandang haiwan, manakala lampu di taman juga akan dimatikan selepas waktu operasi." 

Mandai Wildlife Group melahirkan keprihatinan tentang kemungkinan pihak lain yang ingin meniru kelakuan kumpulan berkenaan, sambil menambah bahawa video tersebut berpotensi menyebabkan kelakuan yang tidak bertanggungjawab. 

"Kami mengucapkan terima kasih kepada pengguna TikTok di luar sana yang menarik perhatian mengenai pentingnya masyarakat sosial dan tidak mengalakkan aksi meniru yang boleh mengancam nyawa," menurut syarikat tersebut. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan