Laporan panel penasihat Wakaf Masyarakat S'pura sudah diserahkan; saranannya akan dikongsi tidak lama lagi
Panel Penasihat bagi penubuhan portfolio wakaf baru - iaitu Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) - sudahpun menyerahkan laporannya dan perincian serta saranan-saranan panel itu akan dikongsi kepada umum dalam masa beberapa bulan ini.
SINGAPURA: Panel Penasihat bagi penubuhan portfolio wakaf baru - iaitu Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) - sudahpun menyerahkan laporannya dan perincian serta saranan-saranan panel itu akan dikongsi kepada umum dalam masa beberapa bulan ini.
Demikian didedahkan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli di Parlimen pada Selasa (2 Mac).
Gagasan WMS diumumkan pada Jun 2020 dan ia bertujuan menjana pendapatan yang mampan demi menyokong institusi-institusi Islam tempatan dan pembangunan asatizah, serta menyokong program-program masyarakat.
Sumbangan kepada WMS yang boleh dihulurkan oleh anggota masyarakat termasuklah dalam bentuk aset flat HDB.
Dua buah panel pakar sudahpun ditubuhkan lebih lapan bulan lalu bagi menyarankan bagaimana untuk menggembleng masyarakat supaya menyahutnya dan bagaimana WMS akan beroperasi.
Di Parlimen, Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang Zhulkarnain Abdul Rahim bangkit untuk bertanyakan kepada Encik Masagos tentang perkembangan terkini penubuhan wakaf tersebut.
Menjawabnya, Masagos Zulkifli berkata dua panel penasihat WMS sudahpun menjalankan satu siri perbincangan tertumpu demi memahami sentimen masyarakat dan faktor-faktor kritikal untuk memastikan wakaf itu berjaya.
"Panel itu sudah menyerahkan satu laporan mengenai teras-teras utama dan kaedah-kaedah kerjanya bagi pembangunan WMS. Saya sedang menyemak saranan-saranan panel itu dan perinciannya akan dikongsi dalam masa beberapa bulan mendatang," kata Encik Masagos.
Dalam soalan tambahannya, Encik Zhulkarnain kemudian menekankan bahawa memandangkan ia adalah wakaf masyarakat, beliau berharap ukur tara menyertainya akan ditetapkan serendah mungkin demi menggalak sokongan secara besar-besaran.
Beliau juga berharap panel pakar itu akan memikirkan dan menimbangkan satu rangka kerja huraian pertikaian yang komprehensif di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA) atau Mahkamah Syariah.
Ini demi menangani sebarang pertikaian yang timbul daripada wakaf masyarakat, kata beliau.
Memberi penjelasannya, Encik Masagos berkata: "Memang semasa pakar-pakar undang-undang, pakar-pakar mengenai hartanah bertemu, mereka dapati ada banyak isu yang perlu dikaji dan juga dihuraikan. Undang-undang juga mungkin perlu diubah bagi memastikan WMS akan mencegah pertikaian sedemikian daripada timbul. Dan juga bagi wakaf-wakaf sedia ada, apa yang boleh kita lakukan untuknya."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.