Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Laporan Khas Hari Wanita Sedunia: Kisah wanita tegar ubah kesukaran jadi satu kemenangan

empena Hari Wanita Sedunia, kami paparkan kisah seorang wanita tegar yang berjaya mengubah kesukaran yang dihadapinya menjadi satu kemenangan. Ikuti kisah hidup Pengarah Madrasah 'My Islamic Journey' dalam laporan khas berikut.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sempena Hari Wanita Sedunia, kami paparkan kisah seorang wanita tegar yang berjaya mengubah kesukaran yang dihadapinya menjadi satu kemenangan.

Ikuti kisah hidup Pengarah Madrasah 'My Islamic Journey' dalam laporan khas berikut.

Idea menubuhkan madrasah bagi para pelajar istimewa ini berputik dari niat murni seorang ibu yang inginkan pendidikan agama untuk anaknya sendiri.

My Islamic Journey (MIJ) ditubuhkan empat tahun lalu oleh Cik Faraliza Zainal selepas beliau mendapati kekurangan pusat pendidikan ukhrawi buat kanak-kanak berkeperluan khas, seperti anaknya yang mengalami autisme.

Pengarah 'My Islamic Journey', Faraliza Zainal menjelaskan, "Saya terdesak untuk mendapatkan pelajaran agama dan juga kebaikan untuk anak sulung saya oleh itu saya nekad dan berusaha untuk menubuhkan madrasah ini. Jadi dengan ilmu yang telah saya perolehi semasa saya bekerja, ilmu dalam pendidikan khas, sokongan dari suami, ibu bapa dan keluarga terdekat dan juga asatizah di sekeliling, ia memberikan saya semangat untuk menubuhkan madrasah ini."

Kini anaknya, Mohammad Ashraf, 15 tahun, belajar sepenuh masa di MIJ, bersama 12 pelajar lain. Pusat MIJ berkembang daripada hanya 18 pelajar kepada lebih 130 pelajar separuh dan sepenuh masa.

Bagaimanapun kejayaan yang dicapainya setakat ini memerlukan banyak pengorbanan.

Bekas Pengurus Latihan di Dow Jones ini terpaksa meninggalkan kerjaya yang dibinanya selama 15 tahun dan berpindah ke rumah lebih kecil bagi menubuhkan madrasah MIJ yang terletak di Ubi Avenue 2.

Namun ibu kepada tiga orang anak ini menganggap pengorbanannya itu berbaloi.

"Apabila melihat anak saya, Ashraf, yang mempunyai austime, bila setiap kali ada perubahan, walaupun sedikit, itu yang membuat saya hendak teruskan usaha saya. Dan selain daripada itu, murid-murid madrasah ini. Bila melihat mereka datang dengan hari yang gembira, dan apabila mereka dapat mempelajari sesuatu itu dengan mudah, itupun menggalakkan saya untuk meneruskan usaha saya," jelas Cik Faraliza. 

Selain bijak membahagikan masa antara kerja dan keluarga, kesungguhan serta sikap positif Cik Faraliza turut dikagumi bukan sahaja oleh suaminya malah para pekerjanya sendiri.

Suami Cik Faraliza, Mohammad Ali Dawood meluahkan rasa kagum terhadap isterinya, "Kepercayaannya yang kuat bahawa sekolah ini akan berjaya, bagaimana beliau menguruskannya, bagaimana beliau mengatur cara guru-guru, bagaimana beliau melayani para ibu bapa di sini, budak-budak dan juga para asatizah, mengajar mereka, memberi perangsang kepada mereka untuk mengajar budak-budak ini. Itu adalah satu perwatakan yang susah dapat dilihat dalam orang lain termasuk diri saya sendiri.

Guru 'My Islamic Journey', Alimatunnisa Abdul Ghani berkongsi tentang Cik Faraliza, "Apabila mendapat sesuatu ujian, beliau akan jadikan ujian itu sebagai satu hikmah. Contohnya, beliau ada seorang anak istimewa dan sebelum ini tiada tempat untuk mendapatkan pendidikan ukhrawi jadi beliau tidak hanya berpeluk tubuh dan sedih dengan nasib itu. Sebaliknya beliau membuka sebuah sekolah di mana semua masyarakat di luar sana boleh mendapatkan manfaat di sekolah ini.

Usaha murni itu nampaknya tidak berhenti di situ. Cik Faraliza bercita-cita untuk membuka pusat pendidikan lebih besar.

Lebih penting lagi, beliau ingin melihat para pelajarnya cemerlang dalam aspek kerohanian, mental dan emosi.

Ini diharap dapat membuktikan kepada masyarakat, bahawa golongan istimewa juga berhak dan mampu mencapai kejayaan seperti orang lain.  

Sumber : BERITA Mediacorp
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan